Strain ‘bundibugyo’ Ebola, WHO isytihar kecemasan antarabangsa

(Foto fail AFP) Petugas kesihatan memindahkan seorang pesakit ke hospital selepas disahkan negatif Ebola sebaik selesai saringan di Pusat Rawatan Ebola (ETC) pada 2018 di Butembo, Republik Demokratik Congo

KINSHASA, 17 Mei- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan kecemasan kesihatan awam antarabangsa susulan wabak Ebola di Republik Demokratik Congo (DR Congo) yang telah meragut lebih 80 nyawa.

RINGKASAN BERITA AI
  • WHO mengisytiharkan strain 'bundibugyo' Ebola sebagai kecemasan kesihatan awam antarabangsa.
  • Strain 'bundibugyo' tiada vaksin atau rawatan khusus dan mempunyai kadar kematian sehingga 50 peratus.
  • WHO mengaktifkan mekanisme tindak balas kecemasan global untuk penyelarasan bantuan, pengesanan kontak dan sokongan operasi kesihatan.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (CDC Africa), sebanyak 88 kematian dan 336 kes disyaki telah direkodkan setakat ini.

WHO memaklumkan wabak yang berpunca daripada strain ‘bundibugyo’ itu dikategorikan sebagai kecemasan kesihatan awam antarabangsa, tahap amaran kedua tertinggi di bawah Peraturan Kesihatan Antarabangsa.

WHO turut mengaktifkan mekanisme tindak balas kecemasan global bagi mempercepatkan penyelarasan bantuan teknikal, pengesanan kontak, serta sokongan operasi kesihatan di kawasan terjejas.

“Strain bundibugyo tidak mempunyai vaksin dan tiada rawatan khusus,” kata Menteri Kesihatan DR Congo, Samuel-Roger Kamba.

Beliau berkata strain berkenaan mempunyai kadar kematian tinggi yang boleh mencecah sehingga 50 peratus.

Sementara itu, Doctors Without Borders (MSF) menyifatkan penularan wabak tersebut sebagai amat membimbangkan dan sedang menggerakkan tindak balas berskala besar.

WHO turut memberi amaran bahawa skala sebenar penularan masih belum dapat dipastikan, namun risiko penyebaran di peringkat tempatan dan serantau adalah tinggi.

Wabak itu merupakan episod Ebola ke-17 di DR Congo sejak virus tersebut mula dikesan di negara berkenaan pada 1976. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.