
IPOH, 16 Mei -Perkembangan misi Global Sumud Flotilla (GSF) sentiasa dipantau ketika kapal itu kini berada di Garisan Kuning Dua, iaitu kira-kira 340 batu nautika dari pantai Gaza, dan berisiko dipintas oleh rejim Zionis.
- Kerajaan sentiasa memantau misi Global Sumud Flotilla dan perkembangan peserta.
- Malaysia bersedia mengambil tindakan sewajarnya sekiranya berlaku sebarang insiden terhadap kapal dan peserta.
- Komunikasi dijalin dengan Jordan, Arab Saudi dan Ketua Pengarah SNCC untuk mendapatkan maklumat terkini.
- Konvoi antarabangsa membawa mesej solidariti dan bantuan kemanusiaan, dengan beberapa kapal berada dalam kawasan berisiko tinggi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia bersedia mengambil tindakan sewajarnya sekiranya berlaku sebarang insiden.
Katanya, komunikasi turut dijalinkan dengan beberapa negara di Asia Barat termasuk Jordan dan Arab Saudi bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan peserta Sumud flotilla berkenaan.
“Kita sentiasa memantau keadaan ini, yang bermaksud kita telah pun memberikan desakan, namun kita berdepan dengan Israel yang paling biadab di dunia. Walau bagaimanapun, sebagai kerajaan, kita telah melakukan sedaya upaya yang mungkin.
“Kita juga berhubung secara langsung dengan Ketua Pengarah SNCC, Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby, untuk mendapatkan maklumat mengenai kedudukan semasa,” katanya kepada pemberita pada majlis Sesi Pertemuan dan Penyampaian Surat Setuju Terima (SST) kepada Kontraktor Kecil Bumiputera di Kompleks Pendidikan Negeri Perak, di sini.
Tambah beliau, kerajaan bukan sahaja mengambil berat terhadap peserta dari Malaysia, malah turut mengikuti perkembangan peserta antarabangsa lain termasuk dari Turkiye, Sepanyol dan Brazil.
Sementara itu, Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) memaklumkan puluhan kapal yang menyertai GSF kini berada dalam kawasan berisiko tinggi berhampiran Gaza.
Konvoi berkenaan membawa mesej solidariti antarabangsa dan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin yang terjejas akibat konflik berterusan.