
JOHOR BAHRU, 16 Mei – Kira-kira 5,000 perwakilan, ahli dan penyokong Pakatan Harapan (PH) dari seluruh negara dijangka menghadiri Konvensyen Pakatan Harapan 2026 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, esok.
- Persiapan konvensyen berjalan lancar dengan pelbagai pengisian bermula seawal pukul 8.30 pagi.
- Sesi awal termasuk podcast melibatkan sayap Wanita dan Pemuda Pakatan Harapan.
- Amanat khas Pengerusi PH merangkap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tumpu persediaan PRN Johor, Melaka dan strategi PRU16.
Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Fahmi Fadzil berkata, semua persiapan penganjuran konvensyen itu berjalan lancar setakat ini dengan pelbagai pengisian dirangka bermula seawal pukul 8.30 pagi.
Menurut beliau, antara pengisian awal termasuk sesi podcast melibatkan sayap Wanita dan Pemuda Pakatan Harapan, sebelum acara kemuncak berlangsung pada sebelah tengah hari.
“Acara kemuncak konvensyen adalah amanat khas oleh Pengerusi Pakatan Harapan merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang akan memberi hala tuju penting kepada gabungan itu.
“Amanat tersebut dijangka memberi tumpuan kepada persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka yang mungkin diadakan dalam tempoh terdekat, selain strategi menuju Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16),” katanya.
Beliau ditemui ketika lawatan tapak dan sidang media persiapan akhir Konvensyen Pakatan Harapan 2026 di sini, hari ini.