Malaysia sasar tiga perlawanan akhir Piala Dunia Sepak Takraw 2026

Pasukan Malaysia menyasarkan mara ke tiga pentas akhir Piala Dunia Sepak Takraw 2026 – Foto FB Mohd Sumali Reduan

KUALA LUMPUR, 15 Mei – Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) meletakkan sasaran untuk mara ke tiga pentas akhir Piala Dunia Sepak Takraw 2026 yang membuka tirainya di Stadium Titiwangsa, pada Sabtu

RINGKASAN BERITA AI
  • Presiden PSM berkata kejohanan lebih sengit kerana negara lain telah membuat persiapan rapi.
  • Sebanyak 203 pemain dan lebih 100 pegawai teknikal menyertai dari 14 negara.
  • Acara kuadran dijangka paling sengit, Malaysia sudah perbaiki kelemahan dikenal pasti.
  • Penyertaan Iran mencuri tumpuan; mereka akan bersaing dalam Divisyen Premier Regu dan Premier Kuadran.

Presidennya, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, sasaran itu membabitkan acara regu, berpasukan dan kuadran dengan pencabar utama dijangka hadir daripada musuh tradisi, Thailand.

Beliau bagaimanapun mengakui cabaran kejuaraan kali ini lebih sengit dengan peningkatan prestasi beberapa negara yang bertanding.

Presiden PSM Datuk Mohd Sumali Reduan – Foto FB Mohd Sumali Reduan

Menurutnya, seramai 203 pemain serta lebih 100 pegawai teknikal menyertai temasya berkenaan membabitkan 14 negara iaitu Malaysia, Thailand, Indonesia, Brunei, Filipina, China, Jepun, India, Taiwan, Singapura, Myanmar, Korea Selatan, Iran dan Vietnam.

“Saya melihat kejuaraan Piala Dunia Sepak Takraw kali ini lebih mencabar dan lebih sengit kerana negara-negara lain yang bertanding juga telah membuat persiapan rapi.

“Acara kuadran dijangka paling sengit, namun Malaysia sudah bersedia dan telah memperbaiki beberapa kelemahan yang dikenal pasti,” katanya pada majlis pelancaran kejohanan itu di Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Antara negara yang bersaing dalam Piala Dunia Takraw 2026 – Foto FB Mohd Sumali Reduan

Dalam pada itu, penyertaan Iran dalam kejohanan kali ini turut mencuri tumpuan susulan negara berkenaan yang kini masih berdepan konflik di Asia Barat.

Kehadiran Iran dalam kejohanan ini turut mencerminkan perkembangan berterusan sukan sepak takraw di luar Asia Tenggara, sekali gus mengukuhkan visi jangka panjang dalam memperluaskan sukan berkenaan di peringkat global.

Iran akan bersaing dengan Thailand dan India dalam Divisyen Premier Regu serta akan turut beraksi dalam kategori Premier Kuadran menentang Filipina dan Taiwan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.