Hina Sahabat Nabi: NGO Media serah memorandum kepada Menteri Agama

Setiausaha Agung Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SekPur), Mejar (B) Razali Zakaria (kanan)/Foto RTM

KUALA LUMPUR, 13 MeiGabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) media dan masyarakat prihatin akan adakan pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan dalam masa terdekat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memorandum luah kebimbangan terhadap peningkatan fitnah, penghinaan agama, manipulasi fakta sejarah Islam dan naratif kebencian di media sosial.
  • Sekretariat membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh atas dakwaan menghina sahabat Nabi.
  • Mereka mendesak siasatan mengikut Seksyen 298A, 502(c) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Kesalahan Jenayah Syariah.
  • NGO mahukan tindakan tegas pihak berkuasa bagi mengekang penyebaran fitnah dan naratif melampau yang menjejaskan kesucian agama.

Setiausaha Agung Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SekPur), Mejar (B) Razali Zakaria berkata tindakan itu bertujuan bagi menyerahkan memorandum peringatan berkaitan penularan fitnah dan naratif melampau di media sosial yang menyentuh kesucian agama Islam.

“Kami sudah berhubung dengan Dr Zulkifli Hasan. Insya-Allah, kami akan membawa beberapa jawatankuasa dan biro untuk bertemu beliau bagi menyampaikan memorandum yang telah dipersetujui bersama untuk tindakan susulan.

“Ketika ini, kami sedang menunggu tarikh yang akan ditetapkan oleh Menteri Agama,” katanya kepada RTM ketika ditemui di ibu kota, hari ini.

Dalam memorandum itu, pihaknya meluahkan kebimbangan terhadap peningkatan budaya fitnah, penghinaan agama, manipulasi fakta sejarah Islam serta naratif kebencian yang semakin berleluasa di media sosial sejak kebelakangan ini.

Dalam pada itu, Razali Zakaria berkata pihaknya telah membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh yang didakwa mengeluarkan kenyataan menghina sabahat Nabi Muhammad SAW, baru-baru ini.

Beliau mendesak agar pihak berkuasa menyiasat Dr Nik Muhammad Zawawi mengikut Seksyen 298A dan 502(c) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.