Lebih 600 unit rumah PPR bakal dibina di Negeri Sembilan

Foto fail RTM

SEREMBAN, 13 Mei- Lebih 600 unit rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) bakal dibina di Negeri Sembilan menerusi pelaksanaan beberapa projek di Jempol, Port Dickson dan Nilai.

RINGKASAN BERITA AI
  • Projek Jempol dan Kampung Linggi masing-masing 100 unit teres, dengan peruntukan RM27.8 juta dan RM30 juta.
  • Bandar Baru Nilai dalam pertimbangan Persekutuan untuk 2027, dijangka 400 unit apartmen anggaran kos RM120 juta.
  • Skim sewa beli disediakan bagi keluarga berpendapatan rendah; nilai sebenar unit RM300,000 tetapi ditawarkan Kerajaan pada RM240,000.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata kerajaan negeri telah meluluskan tanah bagi pembangunan PPR di Kampung Datuk Johan, Jempol dan Kampung Linggi, Port Dickson.

Katanya, projek di Jempol melibatkan pembinaan 100 unit rumah teres dengan peruntukan RM27.8 juta, manakala projek di Kampung Linggi turut melibatkan 100 unit rumah teres bernilai RM30 juta.

Selain itu, sebuah lagi projek PPR di Bandar Baru Nilai kini dalam pertimbangan Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2027, yang dijangka melibatkan pembinaan 400 unit apartmen dengan anggaran kos RM120 juta.

Beliau berkata skim sewa beli yang diperkenalkan memberi peluang kepada keluarga berpendapatan rendah memiliki rumah pada kadar lebih mampu milik.

“Projek PPR ini merupakan projek perumahan untuk keluarga berpendapatan rendah yang belum memiliki rumah sendiri melalui skim sewa beli.

“Nilai sebuah unit adalah kira-kira RM300,000, namun ia disediakan oleh kerajaan pada kadar RM240,000,” katanya.

Datuk Seri Aminuddin berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.