
GEORGE TOWN, 14 Mei – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mempergiat usaha membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) meningkatkan keupayaan pengurusan perniagaan mereka supaya dapat menikmati manfaat daripada pelbagai dasar dan kemudahan pembiayaan yang disediakan oleh kerajaan.
- Fokus pembangunan kapasiti bukan sahaja pembiayaan, termasuk pendaftaran perniagaan, ilmu dan kemahiran.
- Peruntukan kira-kira RM100 juta untuk pembangunan kapasiti bagi sekurang-kurangnya 100,000 usahawan.
- Menteri menegaskan sokongan mengekalkan kuota subsidi Budi95 dan menambah baik pelaksanaan subsidi diesel untuk bantu pengusaha PMKS.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong berkata usaha itu dilaksanakan menerusi agensi di bawah kementerian seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) termasuk melalui inisiatif ‘Power Up 10K’.
“Fokus yang diberikan bukan sahaja mengenai pembiayaan tetapi pembangunan kapasiti yang merangkumi pemberian ilmu serta kemahiran kepada usahawan-usahawan ini supaya mereka tahu cara untuk mendaftarkan perniagaan mereka.
“Kami bukan sahaja nak bagi pembiayaan dan bantu penskalaan tetapi juga menyasarkan untuk membelanjakan lebih kurang RM100 juta bagi pembangunan kapasiti sekurang-kurangnya 100,000 orang usahawan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan (M3PK) di sini hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata melalui kempen ‘Power Up 10K’, pihaknya menyasarkan untuk membantu usahawan meningkatkan kapasiti dan kebolehdayaan perniagaan melalui latihan, bimbingan dan sokongan kewangan secara menyeluruh.
Dalam mesyuarat tersebut juga beliau berkata pengusaha PMKS berharap kerajaan dapat mengekalkan kuota subsidi minyak agar ia tidak membebankan usahawan PMKS.
“Suara-suara yang telah dibangkitkan ataupun cadangan, pandangan yang telah dibangkitkan supaya subsidi minyak dikekalkan. Jadi saya telah menyatakan bahawa kabinet memang tidak ada sebarang keputusan untuk mengurangkan kuota Budi95.
“Malah kita akan mewakili sektor PMKS ini. Saya sebagai Menteri bertanggungjawab menyatakan pendirian bahawa harus dikekalkan kuota Budi95 buat masa ini dan keduanya untuk memastikan kita menambah baik pelaksanaan subsidi diesel supaya kita boleh membantu usahawan-usahawan yang menggunakan kenderaan diesel,” katanya.