Operasi SAR bot karam diperluas

Hari ketiga operasi SAR bot karam di perairan Pulau Pangkor diperluaskan.

LUMUT, 13 Mei – Hari ketiga operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang terlibat insiden bot karam di perairan Pulau Pangkor kini tertumpu ke utara lokasi kejadian.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kawasan pencarian diperluas kepada 343 batu nautika persegi, melibatkan satu pesawat udara dan enam aset laut.
  • Setakat pukul 2.30 petang, tiada penemuan baharu dilaporkan.
  • Semalam tujuh mayat ditemukan: seorang lelaki dan enam wanita.
  • Cabaran operasi meningkat kerana mayat mungkin tenggelam semula akibat proses pereputan.

Kawasan pencarian turut diperluaskan kepada 343 batu nautika persegi dengan melibatkan tujuh aset operasi iaitu sebuah pesawat udara dan enam aset laut.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Mohamad Shukri Khotob berkata, setakat pukul 2.30 petang tadi, masih belum ada penemuan baharu dilaporkan.

“Fokus pencarian dialihkan ke arah utara selepas beberapa mayat yang ditemukan semalam berada sekitar 14 hingga 17 batu nautika dari lokasi asal kejadian.

“Semua aset operasi digerakkan mengikut sektor masing-masing, manakala pesawat udara melakukan tinjauan lebih luas di kawasan berkenaan,” katanya, di sini.

Tambah beliau, operasi SAR akan diteruskan esok dengan jumlah aset yang sama, namun tinjauan udara dijangka dilakukan lebih jauh dari kawasan asal tragedi.

Beliau turut memaklumkan cabaran operasi semakin sukar memasuki hari ketiga kerana keadaan mayat yang mungkin tenggelam semula akibat proses pereputan.

Semalam, tujuh mayat ditemukan membabitkan seorang lelaki dan enam wanita.

Empat mayat ditemukan Pasukan Polis Marin, manakala tiga lagi ditemukan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.