JIM Kedah selesaikan penghantaran pulang kanak-anak Thailand

Foto Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Kedah

BUKIT KAYU HITAM, 13 Mei -Tiga kanak-kanak warganegara Thailand berusia antara enam hingga 12 tahun yang terlibat dalam kes di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) telah berjaya dihantar pulang ke negara asal melalui Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penghantaran disaksikan oleh Pengarah Imigresen Kedah, Konsul Thailand dan Ketua Pejabat Imigresen Dannok mengikut prosedur serta peruntukan undang-undang.
  • Kanak-kanak ditempatkan di Baitul Mahabbah Darulaman Kuala Kedah untuk perlindungan sementara sepanjang siasatan dan dokumentasi.
  • JIM Kedah tekankan penguatkuasaan profesional, berhemah dan berintegriti serta kerjasama diplomatik dengan Thailand.

Penghantaran pulang itu disaksikan oleh Pengarah Imigresen Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain bersama Konsul dari Konsulat Diraja Thailand di Pulau Pinang serta Ketua Pejabat Imigresen Dannok, selaras dengan prosedur operasi dan peruntukan undang-undang yang ditetapkan.

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah dalam kenyataannya berkata, ketiga-tiga kanak-kanak itu sebelum ini ditempatkan di Baitul Mahabbah Darulaman di Kuala Kedah bagi tujuan perlindungan sementara sambil menunggu proses siasatan dan dokumentasi diselesaikan oleh pihak berkuasa.

Mereka antara tujuh kanak-kanak Thailand yang turut menjadi sebahagian daripada 29 warganegara Thailand yang ditahan semasa pemeriksaan oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) ke atas tiga buah van dari negara jiran di kompleks berkenaan pada awal April lalu.

Siasatan lanjut mendapati empat lelaki warganegara Thailand disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26A ATIPSOM berikutan wujudnya elemen penyeludupan migran serta pergerakan rentas sempadan melibatkan kanak-kanak warga asing.

Empat lagi kanak-kanak Thailand dijangka dihantar pulang ke negara asal selepas selesai memberi keterangan kepada pihak berkuasa.

JIM Kedah menegaskan komitmennya untuk terus melaksanakan penguatkuasaan secara profesional, berhemah dan berintegriti dalam memastikan pematuhan terhadap undang-undang negara, di samping mengekalkan hubungan diplomatik serta kerjasama baik antara Malaysia dan Thailand.