
JOHOR BAHRU, 13 Mei- Seorang penarik kereta dipenjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menyimbah cat merah di dua lokasi berasingan di bandar raya ini.
- Menyimbah cat merah di rumah Jalan Mutiara Emas 9/20, Taman Mount Austin pada 7 April kira-kira 4.10 petang.
- Perbuatan serupa dilakukan di Twin Danga Residensi, Kampung Sungai Danga pada 24 Disember tahun lalu.
- Dijatuhkan hukuman tiga bulan bagi pertuduhan pertama, empat bulan bagi pertuduhan kedua; kes dibawa mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan.
Muhamad Yaccob Ibrahim, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Azureen Sahira Sauffee Afandi dan Majistret Nabila Nizam.
Bagi pertuduhan pertama, Muhamad Yaccob didakwa menyimbah cat merah di sebuah rumah di Jalan Mutiara Emas 9/20, Taman Mount Austin pada pukul 4.10 petang, 7 April lalu.
Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa melakukan perbuatan sama di sebuah rumah di Twin Danga Residensi, Kampung Sungai Danga pada 24 Disember tahun lalu.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan dari tarikh sabitan bagi pertuduhan pertama, manakala empat bulan penjara bagi pertuduhan kedua bermula dari tarikh tangkapan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Shafeeqah Mohd Shariffudin dan Nor Deana Aqilah Aliman, manakala Muhamad Yaccob diwakili peguam K. Vijayan dan Zulyatie Awang.