Isu hina sahabat Nabi: Mufti Kelantan seru umat Islam jaga tutur kata

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad / BERNAMA

KOTA BHARU, 13 Mei – Isu membabitkan kenyataan yang didakwa menyentuh kedudukan sahabat Nabi Muhammad SAW terus mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk institusi agama di negara ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sentiasa menjaga pertuturan; pilih kata-kata baik atau diam seperti dianjurkan oleh Rasulullah SAW.
  • Elakkan ucapan yang boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat.
  • Menghormati dan meletakkan para sahabat serta sunnah Khulafa al-Rasyidin di tempat tinggi, serta mencintai Rasulullah SAW.

Mengulas perkara itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, menyeru seluruh umat Islam supaya sentiasa menjaga pertuturan serta memilih kata-kata yang baik sebagaimana dianjurkan Rasulullah SAW.

Ketika ditemui di sini, beliau berkata Rasulullah SAW menerusi sebuah hadis mengingatkan bahawa sesiapa yang benar-benar beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat hendaklah berkata perkara yang baik atau memilih untuk diam.

Menurut beliau, umat Islam juga disaran meninggalkan perkara yang tidak memberi manfaat termasuk ucapan atau kenyataan yang boleh mencetuskan salah faham dalam kalangan masyarakat.

Beliau menjelaskan, para sahabat Rasulullah SAW merupakan golongan yang sangat berjasa dalam perkembangan Islam kerana mereka berjuang bersama Nabi Muhammad SAW dalam menyebarkan dakwah serta mempertahankan agama.

“Rasulullah SAW bersabda supaya kita mengikuti sunnah Baginda dan sunnah Khulafa’ al-Rasyidin, iaitu para pengganti Nabi. Ini menunjukkan kedudukan para sahabat Nabi sangat tinggi.

“Kita tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan yang seolah-olah menggambarkan sahabat Nabi tidak berjasa kepada Islam atau ajaran Islam,” katanya.

Tambah beliau, umat Islam juga diajar supaya mengasihi Rasulullah SAW serta para sahabat yang sentiasa didoakan dengan keredaan Allah SWT atas pengorbanan dan perjuangan mereka dalam menegakkan agama Islam.

“Kita berharap seluruh umat Islam meletakkan kedudukan para sahabat di tempat yang tinggi dan tidak memperlihatkan mereka sebagai golongan yang tidak bermutu atau tidak bermakna kepada Islam,” katanya.