
KUALA LUMPUR, 13 Mei – Kerajaan Malaysia amat kesal terhadap tindakan kerajaan Norway yang tidak meluluskan permit eksport bagi perolehan siri peluru berpandu sehingga menjejaskan pembekalan yang telah dipersetujui sebelum ini.
- Keputusan dibuat pada saat akhir walaupun kontrak dimeterai sejak 2018 dan pembayaran kontrak dibuat mengikut jadual.
- Kerajaan tidak menerima alasan Norway; usaha diplomatik sedang dijalankan dan tindakan susulan untuk perlindungan sedang dipertimbang.
- Perancangan dan pelaksanaan pelan pertahanan kepentingan strategik yang tidak boleh dikompromi, isu turut dibangkitkan antara perdana menteri Malaysia dan Norway.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menegaskan keputusan itu dibuat pada saat akhir walaupun kontrak berkenaan telah dimeterai sejak 2018 dan dilaksanakan tanpa sebarang isu.
Menurut beliau, semua aspek pembayaran kontrak turut dibuat mengikut jadual yang ditetapkan.
Katanya, kerajaan sama sekali tidak dapat menerima alasan yang dikemukakan pihak Norway berhubung tindakan berkenaan.
“Pada waktu ini, usaha melalui saluran diplomatik sedang dilaksana selain kerajaan Malaysia turut mempertimbang tindakan susulan yang sewajarnya dari sudut perlindungan.
“Perancangan dan pelaksanaan pelan pertahanan negara merupakan kepentingan strategik yang tidak boleh dikompromi dalam apa jua keadaan,” jelas beliau pada Sidang Media Mingguan di Angkasapuri, hari ini.
Mengulas lanjut, Datuk Fahmi memaklumkan isu berkenaan turut dibangkitkan dalam perbualan antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Norway.
Namun jelas beliau, urusan tersebut melibatkan kerajaan Malaysia dengan syarikat pembekal dari Norway, manakala kerajaan Norway berperanan dalam pemberian permit eksport.