
HULU LANGAT, 13 Mei – Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan berangkat ke daerah Hulu Langat sempena Jelajah Gagasan Rumpun Selangor (GRS 2.0), hari ini.
- Lawatan ke SK Dusun Tua: mendengar pembentangan Sekolah Geopark, menekankan pembelajaran luar, geologi, biodiversiti dan pengalaman lapangan.
- Sumbangan kerajaan negeri RM20,000 kepada Bahulu Classiq dan RM20,000 kepada The Green Factory bagi sokongan perniagaan setempat.
- Projek Angkat GRS 2.0: fokus kerja baik pulih infrastruktur, pemuliharaan Air Terjun Sungai Gabai dan keselamatan kemudahan awam.
Keberangkatan tiba baginda di lokasi pertama di Sekolah Kebangsaan (SK) Dusun Tua disambut Exco Perpaduan Selangor, Datuk Rizam Ismail, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz dan ADUN Lembah Jaya, Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad.
Sekolah tersebut telah dipilih menjalankan program Sekolah Geopark di bawah GRS 2.0.
Baginda berkenaan mendengar pembentangan pelajar mengenai program yang memanfaatkan keunikan geologi, biodiversiti, dan landskap semula jadi di sekitar sekolah tersebut, sebagai pendidikan bernilai.

Sebagai Sekolah Geopark, ia memberi peluang kepada murid-murid bukan sahaja mempelajari teori di dalam kelas, tetapi juga pendedahan dan pengalaman pembelajaran secara langsung melalui aktiviti luar seperti lawatan lapangan, eksplorasi alam dan kajian tempatan.
Baginda kemudiannya berkenan berangkat ke Kilang Bahulu Classiq di Kampung Jawa, Batu 18, dan meninjau proses penyediaan bahulu.
Baginda turut berkenan menyaksikan penyerahan sumbangan kerajaan negeri Selangor berjumlah RM20,000 bagi pembelian barangan perniagaan yang disampaikan Datuk Rizam kepada usahawan Bahulu Classiq, Nur Adeeba Ibrahim.

Sebelum ini, Datuk Rizam memaklumkan, Gagasan Rumpun Selangor 2.0 bakal memperkenalkan projek angkat melibatkan pembinaan baharu, kerja baik pulih dan penyelenggaraan infrastruktur. Bahulu Classiq antara yang terpilih menerusi inisiatif tersebut.
Inisiatif itu turut memberi tumpuan kepada usaha mengenal pasti kemudahan rosak sekali gus menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
Raja Muda Selangor kemudiannya berkenan berangkat ke lokasi Projek Angkat GRS 2.0 iaitu kawasan rekreasi Air Terjun Sungai Gabai.
Lokasi rekreasi tersebut kini sedang menjalani kerja-kerja pemuliharaan dan masih ditutup untuk lawatan awam.
Baginda mengakhiri lawatan hari ini ke Kilang Kayu The Green Factory di Ampang, dan turut berkenan menyaksikan penyerahan sumbangan kerajaan negeri sebanyak RM20,000 kepada kilang tersebut.
Keberangkatan Baginda menyertai siri jelajah GRS 2.0, memberi tumpuan kepada pengukuhan perpaduan dan pembangunan komuniti setempat.
Siri jelajah GRS 2.0 merupakan kerjasama strategik yang didukung oleh kerajaan negeri untuk memperkasa pembangunan sosial di Selangor.