
TEHRAN, 18 Oktober – Menteri Pertahanan Iran yang baharu, Mehrdad Akhlaqi Ketabchi memberi amaran kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bahawa tenteranya berisiko pulang dalam keranda sekiranya Washington melancarkan serangan baharu terhadap Tehran.
- Iran bersedia menghadapi kemungkinan termasuk penggunaan bom GBU-43/B MOAB.
- Akhlaqi meragui keberanian AS dan sekutunya; amaran kemusnahan besar menanti jika mereka menyerang Iran.
- Laporan mendakwa White House dan Pentagon merancang serangan ke atas kemudahan ketenteraan, tenaga dan nuklear kemungkinan menggunakan MOAB.
- Parlimen meluluskan pelantikan Akhlaqi sebagai Menteri Pertahanan dengan 237 undi; beliau menggantikan Aziz Nasirzadeh.
Akhlaqi menegaskan, Iran bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk penggunaan bom GBU-43/B Massive Ordnance Air Blast (MOAB), yang dikenali sebagai “Mother of All Bombs” oleh AS.
“Trump sepatutnya lebih bimbang tentang cara membawa keluar tenteranya dari rantau ini dengan selamat.
“Jika beliau menggugurkan walau sebutir bom, beliau perlu melihat sendiri berapa ramai tenteranya yang terpaksa dibawa keluar dalam keranda,” tegasnya.
Akhlaqi turut mempersoalkan keberanian AS dan sekutunya untuk melancarkan operasi ketenteraan baharu ke atas Tehran.
“Saya meragui mereka berani untuk menyerang kita. Namun, sekiranya mereka bertindak menyerang Iran, maka kemusnahan besar menanti mereka dan juga rantau ini,” ujarnya.
Amaran Akhlaqi itu susulan laporan bahawa White House dan Pentagon dilaporkan merancang serangan baharu yang menyasarkan kemudahan ketenteraan, tenaga dan nuklear Iran yang berkemungkinan menggunakan MOAB.
Bagaimanapun, Washington belum mengesahkan secara terbuka sebarang keputusan untuk menggunakan senjata berkenaan.
Terdahulu, Parlimen Iran meluluskan pelantikan Akhlaqi sebagai Menteri Pertahanan negara itu yang baharu selepas beliau memperoleh sebanyak 237 undi.
Akhlaqi menggantikan Aziz Nasirzadeh yang terbunuh dalam serangan awal AS-Israel pada 28 Februari lalu.-VIORY