
KANGAR, 12 Mei – Seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun yang disyaki menjadi ‘transporter’ kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perlis, 10 Mei lalu.
- Suspek ditahan selepas pegawai Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM Perlis mengekori kenderaan mencurigakan sekitar pukul 4.00 pagi.
- Penangkapan itu membawa kepada penahanan tiga warga Myanmar, dua lelaki dan seorang wanita, di premis dobi layan diri di Arau.
- Disyaki bertindak sebagai 'transporter' yang membawa PATI keluar masuk melalui lorong-lorong tikus; pemantauan dijalankan selama kira-kira tiga bulan.
- 166 operasi antara 1 Jan hingga 11 Mei: 1,930 individu diperiksa; 130 PATI ditahan (115 lelaki, 15 wanita); 14 majikan dikenakan tindakan.
Suspek ditahan selepas sepasukan pegawai Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM Perlis mengekori sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan kira-kira pukul 4.00 pagi.
Pengarah Imigresen Perlis Mohammad A’sim Md Ali berkata, penahanan lelaki tersebut turut membawa kepada penahanan tiga warga Myanmar yang terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita di sebuah premis dobi layan diri di Arau.
“Kita mengesyaki dia bertindak sebagai ‘transporter’ yang membawa PATI keluar masuk Malaysia melalui lorong-lorong tikus.
“Pemantauan telah dijalankan selama kira-kira tiga bulan, namun pergerakannya sering berubah-ubah. Bukan dia sahaja yang terlibat, namun kebetulan pada hari berkenaan, kita berjaya mengesannya dan melakukan tangkapan”, katanya di Pejabat Imigresen, Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Seriab, di sini.
Beliau berkata, kawasan ladang sekitar Chuping dikenal pasti antara hotspot kegiatan penyeludupan migran kerana sukar dipantau sepenuhnya terutama ketika awal pagi.
Dalam pada itu, sebanyak 166 operasi penguatkuasaan dijalankan sepanjang tempoh 1 Januari hingga 11 Mei tahun ini membabitkan pemeriksaan terhadap 1,930 individu.
Daripada jumlah itu, seramai 130 PATI ditahan membabitkan 115 lelaki dan 15 wanita, selain 14 majikan turut dikenakan tindakan.