126 peserta tamat Program DLE, perkukuh pemimpin digital

Abdul Karim Fakir Ali

KUALA LUMPUR, 11 Mei Seramai 126 peserta daripada sektor kerajaan, industri dan akademia berjaya menamatkan Kohort Dua dan Tiga Program Kecemerlangan Kepimpinan Digital (DLE), sekali gus memperkukuh usaha negara melahirkan pemimpin digital berdaya saing menjelang tahun 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program tiga tahun hasil kerjasama MCMC dan Huawei dilancarkan Mac 2024 untuk melahirkan 300 pemimpin digital menjelang 2026.
  • Menyediakan kemahiran teknikal dan kepimpinan untuk menyokong kesinambungan digital serta ekonomi digital yang mampan dan inklusif.
  • Merapatkan jurang kepimpinan digital dengan pendedahan antarabangsa termasuk lawatan ke pusat R&D Huawei di China, menyokong transformasi sektor teknologi.

Pengarah Urusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Abdul Karim Fakir Ali berkata program yang dilancarkan pada Mac 2024 itu merupakan inisiatif selama tiga tahun hasil kerjasama antara MCMC dan Huawei.

“Program ini bertujuan melahirkan 300 pemimpin digital menjelang 2026 dengan melengkapkan peserta kemahiran teknikal serta keupayaan kepimpinan bagi menyokong kesinambungan digital dan memperkukuh usaha ke arah ekonomi digital yang mampan serta inklusif.

“Melalui program itu, jurang kepimpinan digital dapat dirapatkan sekali gus menyediakan peserta untuk menerajui transformasi Malaysia dalam pelbagai bidang utama seperti kesalinghubungan 5G, kecerdasan buatan (AI), Internet Pelbagai Benda (IoT), pengkomputeran awan, data raya, teknologi hijau, keselamatan siber serta teknologi baharu lain.

“Inisiatif berkenaan juga menjadi antara usaha penting negara dalam merealisasikan aspirasi mencapai pertumbuhan mampan dan inklusif dalam era digital,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Program DLE 2025 di ibu negara, hari ini.

Kejayaan itu membuktikan kekuatan visi digital Malaysia, sekali gus menyerlahkan kerelevanan program berkenaan dalam memperkasa bakat tempatan.

Peserta yang terdiri daripada pakar dalam bidang masing-masing turut menerima pendedahan di peringkat antarabangsa menerusi lawatan pembelajaran ke pusat penyelidikan dan pembangunan Huawei di China.

Program berkenaan dilaksanakan susulan seruan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Sidang Kemuncak ICT Malaysia 2023 bagi merapatkan jurang kepimpinan digital negara.