SPRM perkukuh siasatan berasaskan risikan

Tan Sri Azam Baki

KUALA LUMPUR , 11 Mei – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini memperkukuh pendekatan siasatan berasaskan risikan dalam usaha menangani kes rasuah, khususnya melibatkan rangkaian terancang dan individu berprofil tinggi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Siasatan tidak boleh bergantung sepenuhnya pada aduan awam; mesti disokong pengumpulan risikan dan kerjasama strategik antara agensi.
  • Kaedah dan prosedur sedia ada perlu ditambahbaik secara berterusan untuk memastikan siasatan lebih pantas dan menyeluruh.
  • Kes rasuah lebih mencabar kerana kumpulan kecil saling melindungi; SPRM perlukan kepakaran perakaunan, kejuruteraan, perubatan dan perundangan.
  • Komitmen SPRM mempertingkat keupayaan dalaman dan memperluas kerjasama rentas bidang bagi keberkesanan usaha membanteras rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada aduan orang awam sebaliknya perlu disokong pengumpulan maklumat risikan serta kerjasama strategik antara agensi.

Beliau menegaskan, pendekatan dan prosedur sedia ada perlu sentiasa ditambah baik bagi memastikan keberkesanan siasatan yang lebih pantas dan menyeluruh.

“Pembaharuan perlu dibuat secara berterusan supaya cara kerja kita lebih berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam audio siar “Kolar Hitam Bukan Sekadar Operasi” yang disiarkan di YouTube rasmi SPRM hari ini.

Tambah beliau, kes rasuah lebih mencabar kerana melibatkan kumpulan kecil yang saling melindungi, justeru SPRM turut memerlukan kepakaran pelbagai bidang seperti perakaunan, kejuruteraan, perubatan dan perundangan bagi memperkukuh analisis siasatan.

SPRM komited mempertingkat keupayaan dalaman dan memperluas kerjasama rentas bidang bagi memastikan usaha membanteras rasuah dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.