Keluar Mekah tanpa fahami hukum boleh jejas ibadah haji – TH

Foto hiasan / RTM

MEKAH, 11 Mei – Jemaah haji Malaysia diingatkan supaya tidak sewenang-wenangnya keluar dari Kota Suci Mekah ke kawasan luar tanah haram seperti Taif atau Jeddah tanpa memahami implikasi hukum serta peraturan berkaitan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tindakan keluar tanpa memahami peraturan boleh menjejaskan ibadah haji dan menimbulkan masalah keselamatan serta pentadbiran.
  • Jemaah haji tamattuk harus lebih berhati-hati jika mahu keluar dari Mekah melepasi kawasan miqat.
  • Jemaah yang selesai umrah dan dalam tahalul wajib berniat ihram semula sebelum memasuki Mekah atau dikenakan dam.
  • Resolusi Muzakarah menjelaskan jemaah tamattuk ke Taif sebelum Hari Wukuf perlu berniat ihram di Qarnul Manazil.

Tindakan itu bukan sahaja boleh menjejaskan ibadah haji, malah berisiko menimbulkan masalah keselamatan dan pentadbiran kepada jemaah sendiri.

Menurut Pakar Rujuk Haji Lembaga Tabung Haji (TH), Dr. Mohd Sirajuddin Siswadi Putera Mohamed Shith, jemaah yang mengerjakan haji tamattuk perlu lebih berhati-hati sekiranya mahu keluar dari Mekah melepasi kawasan miqat.

Katanya, bagi jemaah yang telah selesai menunaikan umrah dan berada dalam keadaan tahalul, mereka wajib berniat ihram semula sebelum memasuki Mekah sekiranya keluar ke kawasan seperti Taif atau Jeddah.

Beliau berkata, jemaah yang memasuki semula Mekah tanpa berniat ihram boleh dikenakan dam kerana melanggar ketetapan miqat.

“Kita amat berharap jemaah memahami perkara ini. Tambahan pula, lawatan ke tempat-tempat bersejarah perlu mengambil kira peraturan yang ditetapkan demi kemaslahatan bersama.

“Kami sebagai pakar rujuk melihat adalah tidak wajar untuk jemaah pergi sendiri-sendiri kerana implikasinya amat tinggi sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini,” katanya.

Tambah beliau, keadaan itu turut memberi implikasi terhadap pengurusan ibadah haji, terutama apabila melibatkan perjalanan persendirian tanpa pengetahuan pihak pengurusan haji.

Bagaimanapun, katanya, ketetapan tersebut tidak memberi kesan kepada jemaah haji ifrad dan qiran kerana mereka masih berada dalam keadaan ihram sepanjang tempoh berkenaan.

Dalam pada itu, Resolusi Muzakarah Kebangsaan Kali Ke-36 Musim Haji 1441H/2019M turut menjelaskan bahawa jemaah haji tamattuk yang pergi ke Taif sebelum Hari Wukuf perlu berniat ihram di Qarnul Manazil kerana masih mempunyai tujuan menunaikan haji ketika memasuki Mekah.