
CYBERJAYA, 6 Mei– Kejohanan Golf Piala Presiden PEKEMA Ke-12 tahun ini menyasarkan penglibatan lebih meluas dengan jangkaan penyertaan hampir 500 pemain golf amatur dari dalam dan luar negara.
- Kejohanan 18 dan 19 Julai menjadi platform memperkukuh jaringan perniagaan bersama rakan industri tempatan dan antarabangsa, termasuk Jepun dan United Kingdom.
- Hadiah keseluruhan RM500,000 termasuk empat kenderaan elektrik Dongfeng bagi hole-in-one dan wang tunai RM28,888 untuk hole dua.
- Yayasan PEKEMA menyalurkan RM3,000 seorang kepada 10 bekas atlet melalui YAKEB; penerima termasuk bekas pemain golf profesional Shaaban Hussin.
Presiden Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA), Datuk Hj. Mohamed Nazari Noordin berkata kejohanan yang bakal berlangsung di Putrajaya itu dijangka melibatkan lebih 400 peserta sekali gus mencerminkan peningkatan skala penganjuran berbanding tahun sebelumnya.
“Tahun lepas kita mendapat 100 flight. Jadi pada tahun ini kita menjangkakan melebihi 120. Sasaran kita dalam 120 lah, jadi lebih kurang dalam 480 orang peserta yang akan menyertai pada tahun ini,” katanya.
Menurut beliau, kejohanan yang dijadualkan pada 18 dan 19 Julai ini bukan sekadar pertandingan sukan, malah menjadi platform strategik untuk memperkukuh jaringan perniagaan melibatkan rakan industri dari dalam dan luar negara, termasuk Jepun serta United Kingdom.
Antara tarikan utama edisi kali ini ini hadiah hole-in-one yang menawarkan empat buah kenderaan elektrik (EV) jenama Dongfeng iaitu model premium Dongfeng 007, Dongfeng Vigo (Nammi 01), serta dua unit Dongfeng Box, hadiah keseluruhan mencecah RM500,000.
Selain kenderaan, para peserta turut berpeluang memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM28,888 bagi hole-in-one di lubang dua.
Dalam pada itu, PEKEMA menerusi Yayasan PEKEMA turut meneruskan misi kebajikan dengan menyalurkan sumbangan RM3,000 setiap seorang kepada 10 bekas atlet negara melalui kerjasama dengan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB).
Antara penerima yang dikenal pasti ialah bekas pemain golf profesional negara, Shaaban Hussin, yang pernah memenangi pingat emas Sukan SEA 2001 dan menyertai siri Jelajah PGA AS CIMB Classic.