
VANCOUVER, 6 Mei – Penganjuran Piala Dunia 2026 dilihat sebagai pemangkin utama untuk menyuntik sukan bola sepak ke dalam arus perdana di Kanada, selain memacu pendapatan komersial serta mengangkat martabat Liga Perdana Kanada (CPL).
- James Johnson: Piala Dunia peluang keemasan untuk memperkukuh ekosistem bola sepak Kanada.
- Piala Dunia 2026 pertama kali melibatkan Kanada sebagai tuan rumah bersama, dengan format 48 pasukan.
- Skuad kebangsaan dikendalikan Jesse Marsch, diperkuatkan bintang Alphonso Davies dan Jonathan David.
Pesuruhjaya CPL, James Johnson yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Canadian Soccer Business, menyifatkan kejohanan itu sebagai peluang keemasan bagi memperkukuh ekosistem sukan berkenaan di negara tersebut.
“Sebagaimana edisi Piala Dunia sebelum ini, sentiasa wujud ruang besar untuk mengembangkan aspek teknikal dan perniagaan sukan ini.
“Buat julung kalinya dalam sejarah, Kanada bakal bertindak sebagai tuan rumah bersama.
“Visi kami jelas, iaitu meletakkan CPL sebagai agenda utama dalam peta sukan nasional sambil meningkatkan profil komersial liga ke tahap yang lebih tinggi,” ujar beliau.
Piala Dunia 2026 bakal mencipta sejarah dengan penyertaan 48 pasukan yang menyaksikan Kanada akan menggalas tanggungjawab sebagai penganjur bersama Amerika Syarikat dan Mexico bermula 11 Jun hingga 19 Julai 2026.
Skuad kebangsaan Kanada yang dikendalikan oleh pengendali dari Amerika Syarikat, Jesse Marsch, kini diperkuatkan oleh bintang antarabangsa seperti kapten pasukan, Alphonso Davies dari Bayern Munich dan penggempur Juventus, Jonathan David. – REUTERS