
JOHOR BAHRU, 6 Mei – Pengusaha perniagaan di Johor menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung cadangan penurunan kadar sewa premis milik semua agensi Kerajaan Persekutuan yang disifatkan mampu meringankan beban operasi peniaga.
- Langkah dilihat tepat pada masanya untuk ringankan beban peniaga susulan ketidaktentuan ekonomi global.
- Rata-rata peniaga melahirkan rasa syukur dan menyokong inisiatif kerana membantu kurangkan kos bulanan.
- Peniaga kecil terasa lega kerana penurunan sewa membantu kurangkan kos operasi dan beban harian.
- Sokongan turunkan sewa dijangka bantu elak kenaikan harga kepada pelanggan dan kekalkan daya saing perniagaan kecil.
Langkah itu dilihat tepat pada masanya ketika peniaga berdepan tekanan kos semasa susulan ketidaktentuan ekonomi global.
Tinjauan mendapati rata-rata peniaga menzahirkan rasa syukur dan menyokong inisiatif berkenaan yang dianggap membantu mengurangkan kos bulanan perniagaan.
Peniaga Medan Selera Hutan Bandar, Roszamri A Rahim berkata, inisiatif tersebut memberi kelegaan kepada peniaga kecil yang terkesan dengan keadaan ekonomi semasa.
“Memang membantu peniaga-peniaga sebab dalam keadaan ekonomi tidak menentu dan geopolitik global sekarang, ia dapat kurangkan kos bulanan sedikit sebanyak,” katanya.
Sementara itu, peniaga gerai Majlis Bandaraya Johor Bahru, Norizah Ismail menyifatkan langkah tersebut sebagai sesuatu yang dinantikan peniaga.
“Walaupun sedikit, alhamdulillah itu yang kami harapkan. Terima kasih kepada kerajaan,” katanya.
Seorang lagi peniaga, Raendang Awang turut menyokong cadangan berkenaan kerana ia turut memberi kesan kepada harga jualan kepada pelanggan.
“Kita sokong untuk turunkan sewa supaya beri manfaat kepada pelanggan, jadi tak perlu naikkan harga makanan dan minuman,” katanya.
Secara keseluruhan, cadangan penurunan sewa premis kerajaan itu dilihat berupaya membantu kelangsungan perniagaan kecil untuk terus berdaya saing dalam keadaan ekonomi yang mencabar.