
TEHRAN, 5 Mei – Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mendakwa menyerang sebuah kapal perang Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) dengan dua peluru berpandu selepas kapal itu didakwa cuba melintasi Selat Hormuz tanpa mematuhi amaran keselamatan Iran.
- Pegawai kanan AS menafikan sebarang kapal perang negara itu terkena serangan peluru berpandu Iran.
- Iran menegaskan semua pergerakan di Selat Hormuz perlu mendapat kebenaran Tehran dan pelanggaran akan dihadapi tindakan tentera.
- CENTCOM mengiring dua kapal dagang AS; Tentera Laut AS menjalankan Project Freedom di Teluk Parsi.
Menurut agensi berita separa rasmi Fars, kapal perang AS itu dikatakan belayar berhampiran pelabuhan Jask di selatan Iran sebelum cuba memasuki laluan strategik berkenaan.
Sumber tempatan dipetik berkata, kapal terbabit terkena serangan selepas mengabaikan amaran pasukan tentera laut Iran, sekali gus memaksanya berundur dari kawasan itu.
Bagaimanapun, seorang pegawai kanan AS menafikan dakwaan tersebut kepada Axios, sambil menegaskan tiada kapal perang negara itu terkena serangan peluru berpandu Iran.
Iran berulang kali menegaskan sebarang pergerakan di Selat Hormuz perlu mendapat kebenaran rasmi Tehran dan sebarang pelanggaran akan menerima tindak balas tegas daripada angkatan tenteranya.
Pada hari sama, Pemerintah Pusat AS (CENTCOM) memaklumkan dua kapal dagang berbendera AS berjaya melalui Selat Hormuz dengan bantuan operasi keselamatan Amerika bagi memulihkan transit perkapalan komersial di laluan berkenaan.
Tentera Laut AS turut mengesahkan kapal pemusnah peluru berpandu kini beroperasi di Teluk Parsi sebagai sebahagian daripada “Project Freedom”.
Ketua CENTCOM, Brad Cooper, turut mendakwa tentera AS menenggelamkan enam bot kecil Iran di Selat Hormuz menerusi serangan udara menggunakan helikopter Apache dan MH-60 Seahawk.
Namun, agensi berita separa rasmi Tasnim menolak dakwaan itu.
Ketegangan meningkat selepas Presiden AS, Donald Trump, mengumumkan Washington akan mula mengiringi kapal keluar dari Selat Hormuz bermula Isnin atas alasan “misi kemanusiaan”.
Sebagai tindak balas, Markas Pusat Khatam al-Anbiya memberi amaran bahawa mana-mana pasukan tentera asing, khususnya AS, akan diserang jika cuba menghampiri atau memasuki selat berkenaan.
Iran memperketat kawalan di Selat Hormuz sejak 28 Februari lalu susulan serangan bersama ke atas wilayahnya, manakala rundingan pascagencatan senjata antara Tehran dan Washington di Islamabad pada April dilaporkan gagal mencapai persetujuan.-REUTERS