Tragedi letupan kilang bunga api di China, angka korban meningkat

Foto AFP

LIYUYANG, 5 Mei – Angka korban akibat letupan kilang bunga api di Hunan, China meningkat kepada 26 orang, manakala 61 orang disahkan cedera lapor pihak berkuasa pada Selasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Letupan berlaku di premis Liuyang Huasheng Fireworks di Liuyang, hab pengeluaran bunga api terbesar China.
  • Semua pengilang bunga api di Changsha diarahkan henti operasi serta-merta untuk pemeriksaan keselamatan.
  • Lebih 480 anggota penyelamat dikerahkan, kerajaan pusat hantar pakar, operasi mencari dan menyelamat hampir selesai.
  • Pihak polis menahan pengurusan syarikat sementara disiasat; Presiden arah rawatan mangsa, pencarian yang hilang dan tindakan tegas.

Letupan tersebut dilaporkan berlaku di premis milik Liuyang Huasheng Fireworks Manufacturing and Display Company yang terletak di daerah Liuyang, sebuah kawasan yang terkenal sebagai hab pengeluaran bunga api terbesar di China menurut laporan penyiar rasmi CCTV.

Susulan letupan berkenaan, semua pengilang bunga api di Changsha telah diarah untuk menghentikan operasi serta-merta bagi memberi laluan kepada pemeriksaan keselamatan.

Datuk Bandar Changsha, Chen Bozhang, dalam sidang media petang Selasa mengesahkan pertambahan lima lagi mangsa maut, menjadikan jumlah keseluruhan 26 orang berbanding laporan awal seramai 21 orang.

“Kami berasa amat sedih dan penuh sesal,” kata Chen, sambil menambah bahawa operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini “hampir selesai sepenuhnya”.

Kerajaan pusat telah menghantar pakar untuk memantau usaha menyelamat, manakala lebih 480 anggota penyelamat dikerahkan ke lokasi.

Pihak berkuasa juga menetapkan zon kawalan sejauh 3 kilometer di sekitar tapak kejadian dan memindahkan penduduk berhampiran.

Menurut  CCTV, pihak polis telah menahan pengurusan syarikat tersebut sementara siasatan punca kejadian masih dijalankan.

Presiden Xi Jinping turut mengarahkan usaha berterusan dilakukan untuk merawat mangsa yang cedera, mencari mangsa yang hilang, dan memastikan pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan tegas.

Liuyang merupakan hab utama bunga api dunia, yang menghasilkan kira-kira 60 peratus bunga api untuk pasaran domestik China dan 70 peratus untuk pasaran eksport global.

Kemalangan industri maut melibatkan bunga api kerap dilaporkan di China, yang sering dikaitkan dengan faktor kecuaian dan piawaian keselamatan yang longgar di premis pembuatan serta simpanan.

Tahun lepas, sebuah kilang di Hunan meletup dan telah mengorbankan sembilan nyawa.

Manakala pada 2023, tiga orang maut selepas letupan berlaku di bangunan kediaman di bandar Tianjin. – AFP