Serangan dron, Sudan dakwa UAE dan Ethiopia bertanggungjawab

Jurucakap tentera Sudan, Brigedier Jeneral Asim Awad Abdelwahab / REUTERS

KHARTOUM, 5 Mei -Kerajaan Sudan menuduh Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Ethiopia melancarkan pencerobohan secara langsung melalui serangan dron di Lapangan Terbang Antarabangsa Khartoum, sekali gus mencetuskan ketegangan diplomatik baharu ketika perang saudara kian meruncing di negara berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tentera mendakwa serangan sejak 1 Mac dilancarkan dari pangkalan udara Bahir Dar di Ethiopia.
  • Dron yang ditembak jatuh pertengahan Mac menunjukkan kaitan teknikal antara pangkalan itu dengan penglibatan UAE.
  • Jurucakap tentera menegaskan tindakan Ethiopia dan UAE satu pencerobohan langsung dan tidak akan dibiarkan tanpa tindakan.
  • Siri serangan mengenai sasaran tentera dan awam ketika agensi antarabangsa mula kembali beroperasi; PBB sifatkan konflik bencana kemanusiaan terburuk, dron utama.

Tentera Sudan menyifatkan serangan pada Isnin itu sebagai siri terbaharu serangan berterusan yang telah menamatkan tempoh tenang selama beberapa bulan di ibu negara tersebut, selepas tiga tahun terperangkap dalam konflik domestik.

Jurucakap tentera, Brigedier Jeneral Asim Awad Abdelwahab berkata, Kerajaan Sudan mempunyai bukti kukuh bahawa serangan ke atas beberapa wilayah sejak 1 Mac lalu dilancarkan dari Lapangan Terbang Bahir Dar di Ethiopia.

Beliau menjelaskan maklumat yang diperoleh daripada sebuah dron yang ditembak jatuh pada pertengahan Mac menunjukkan kaitan teknikal antara pangkalan udara berkenaan dengan penglibatan UAE.

“Apa yang dilakukan oleh Ethiopia dan UAE adalah satu pencerobohan langsung terhadap Sudan dan ia tidak akan dibiarkan tanpa sebarang tindakan,” tegas beliau dalam satu kenyataan lewat malam Isnin.

Siri serangan yang bermula Jumaat lepas telah mengenai sasaran tentera dan kawasan awam, meskipun kementerian dan agensi antarabangsa baru sahaja mula kembali beroperasi di Khartoum selepas tentera merampas semula kawalan bandar itu pada Mac 2025.

Menurut saksi, serangan pada Isnin itu menyasarkan lapangan terbang utama negara yang baru sahaja menerima penerbangan antarabangsa pertamanya minggu lepas, selepas tiga tahun ditutup akibat pertempuran antara tentera dan kumpulan separa tentera Rapid Support Forces (RSF).

Sudan sebelum ini sering menuduh UAE membekalkan sokongan kepada RSF, namun dinafikan oleh negara Teluk berkenaan.

Ethiopia juga dituduh terlibat selepas laporan mendedahkan negara itu menempatkan kem latihan pejuang RSF serta menaik taraf kemudahan udara bagi operasi dron.

Kementerian Penerangan Sudan dalam satu kenyataan memaklumkan tiada kecederaan atau kerosakan dilaporkan dalam serangan terbaharu itu, dan operasi lapangan terbang akan disambung semula selepas prosedur keselamatan rutin selesai.

Konflik di Sudan yang tercetus sejak April 2023 kini disifatkan oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) sebagai bencana kemanusiaan terburuk di dunia, dengan penggunaan teknologi dron menjadi instrumen utama peperangan yang telah mengorbankan ratusan ribu nyawa. – REUTERS