
TAIPEI, 5 Mei – Hubungan antara Taipei dan Beijing kembali tegang selepas Presiden Lai Ching-te menuduh China melancarkan tekanan termasuk mengancam sekatan ekonomi terhadap negara-negara Afrika bagi menghalang laluan penerbangan rasmi negara itu ke Eswatini baru-baru ini.
- Taiwan mendakwa China tekan Seychelles, Mauritius dan Madagascar batalkan permit ruang udara bagi lawatan Ching-te ke Eswatini.
- China menafikan dakwaan dan menyifatkan lawatan itu sebagai 'jenaka melarikan diri gaya penumpang gelap'; Amerika Syarikat kecam tindakan Beijing.
- Eswatini masih salah satu daripada 12 negara yang mengiktiraf Taiwan; lawatan bertujuan meraikan ulang tahun ke-40 takhta Raja Mswati III dan hari keputeraan ke-58.
Taiwan mendakwa China mengenakan “tekanan intensif” terhadap Seychelles, Mauritius dan Madagascar supaya membatalkan permit ruang udara bagi jadual asal lawatan Ching-te ke Eswatini yang merupakan satu-satunya sekutu diplomatik Taipei di Afrika.
Lawatan berkenaan sepatutnya berlangsung pada 22 hingga 26 April lepas.
“Rakyat Taiwan adalah sebahagian daripada warga dunia; rakyat Taiwan mempunyai hak untuk berinteraksi dengan dunia,” kata Ching-te kepada pemberita di lapangan terbang antarabangsa Taipei sejurus tiba dengan pesawat peribadi Raja Eswatini, pada Isnin.
Beliau menegaskan bahawa pertukaran lawatan antara ketua negara merupakan perkara biasa dan merupakan hak asasi setiap negara.
“Kami tidak akan berundur hanya kerana penindasan,” kata Ching-te yang diiringi Timbalan Perdana Menteri Eswatini, Thulisile Dladla dalam penerbangan pulang tersebut.
China, yang menuntut Taiwan sebagai sebahagian daripada wilayahnya, secara konsisten menentang sebarang bentuk penyertaan pulau itu dalam organisasi antarabangsa mahupun hubungan diplomatik dengan negara lain.
Seorang pegawai keselamatan Taiwan mendedahkan bahawa Beijing didakwa mengancam untuk menarik balik pelepasan hutang, menghentikan pembiayaan dan mengenakan sekatan ekonomi lanjut terhadap tiga negara Afrika terlibat jika tidak mematuhi tuntutan tersebut.
Sebagai tindak balas, Kementerian Luar China menolak dakwaan tersebut dan menyifatkan perjalanan Ching -te sebagai “jenaka melarikan diri gaya penumpang gelap” yang memalukan di peringkat antarabangsa.
Amerika Syarikat turut mengecam tindakan Beijing sebagai “kempen intimidasi”, namun kenyataan itu dibidas oleh Menteri Luar China sebagai “tuduhan tidak berasas”.
Eswatini, yang dahulunya dikenali sebagai Swaziland, kekal sebagai salah satu daripada 12 negara yang masih mengiktiraf kedaulatan Taiwan ketika usaha agresif Beijing memujuk sekutu pulau itu memutuskan hubungan diplomatik.
Lawatan Ching-te itu bertujuan meraikan ulang tahun ke-40 takhta Raja Mswati III dan hari keputeraan baginda yang ke-58, menyaksikan Menteri Luar Taiwan, Lin Chia-lung hadir terlebih dahulu bagi mewakili Ching-te susulan kelewatan tersebut. – AFP