Tiga warga Peru pulang dari Rusia, dakwa diperdaya sindiket pemerdagangan manusia sertai perang Ukraine

FOTO REUTERS

CALLAO, 5 Mei – Tiga lelaki warga Peru selamat tiba di Lima pada Isnin selepas didakwa menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia yang menjanjikan pekerjaan bergaji lumayan di Rusia sebelum mereka akhirnya dihantar menyertai perang di Ukraine.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kementerian Luar Peru kata mereka berlepas dari Moscow dengan bantuan Kedutaan; sehingga enam rakyat dijangka pulang secara berperingkat.
  • Puluhan ahli keluarga berhimpun di luar Kedutaan Russia di Lima menuntut keadilan sambil melaungkan bantahan terhadap pemerdagangan manusia.
  • Dayana Estrada mendakwa bapanya dan dua abangnya direkrut melalui tawaran kerja palsu sebelum dilaporkan hilang.
  • Pendakwa raya Peru membuka siasatan awal terhadap rangkaian yang didakwa menipu dengan tawaran pekerjaan keselamatan lalu memaksa mangsa sertai konflik.

Ketibaan mereka di Lapangan Terbang Jorge Chavez disambut penuh emosi oleh ahli keluarga yang menangis dan berpelukan, namun ketiga-tiga lelaki itu mengelak daripada ditemu bual media.

Kementerian Luar Peru memaklumkan kumpulan berkenaan berlepas dari Moscow dengan bantuan Kedutaan Peru, manakala sehingga enam rakyat negara itu dijangka pulang secara berperingkat.

Minggu lalu, puluhan ahli keluarga berhimpun di luar Kedutaan Russia di Lima bagi menuntut keadilan, sambil melaungkan bantahan terhadap pemerdagangan manusia.

Seorang waris, Dayana Estrada, mendakwa bapanya serta dua abangnya direkrut menerusi tawaran kerja palsu sebelum dilaporkan hilang, termasuk seorang abang yang memaklumkan pada April lalu bahawa dia akan dihantar ke barisan hadapan peperangan.

Susulan dakwaan tersebut, pihak pendakwa raya Peru membuka siasatan awal terhadap rangkaian yang dipercayai menawarkan pekerjaan keselamatan dan pekerjaan lain di Rusia secara mengelirukan sebelum mangsa dipaksa menyertai konflik bersenjata.

Sementara itu, Kedutaan Rusia di Lima dalam kenyataan akhir April menegaskan undang-undang negara itu menghormati keputusan warga asing untuk menyertai perkhidmatan ketenteraan mengikut prosedur ditetapkan.-REUTERS