UMNO perlu strategi malar segar, depani landskap politik dinamik

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berucap pada Konvensyen 80 Tahun UMNO di ibu negara.

KUALA LUMPUR, 2 Mei UMNO perlu merangka pendekatan dan strategi yang malar segar bagi mendepani landskap politik yang semakin dinamik khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Umum ke-16.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sesuaikan strategi pilihan raya berdasarkan perubahan pengundi, isu dan landskap politik semasa.
  • Pelan pilihan raya tidak ditetapkan awal; ia dirangka berdasarkan realiti ketika tiba masanya.
  • Perkukuh keupayaan UMNO menghadapi cabaran digital dan geopolitik serta tingkatkan bilangan ahli profesional.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata langkah itu penting bagi memastikan UMNO bukan sahaja terus kekal relevan, malah kembali menjadi parti dominan.

“Pilihan Raya kini tidak lagi bersifat statik. Landskap politik berubah, pengundi berubah dan isu juga turut berubah. Sehubungan itu, strategi perlu disesuaikan dengan perkembangan semasa.

“Strategi Pilihan Raya UMNO tidak ditentukan lebih awal, sebaliknya akan dirangka berdasarkan realiti semasa apabila tiba masanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan Konvensyen 80 Tahun UMNO di sini, hari ini.

Tambah Datuk Seri Mohamad, keupayaan UMNO akan terus diperkukuh meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk kepesatan kemajuan digital dan ketidaktentuan geopolitik.

Ini termasuk melahirkan lebih ramai golongan profesional dalam kalangan ahli-ahli UMNO.