Malaysia-Austria komited perkukuh kerjasama sektor utama

Mesyuarat dua hala Timbalan Menteri Luar, Datuk Lukanisman Awang Sauni bersama Timbalan Menteri Hal Ehwal Eropah dan Antarabangsa Republik Austria, Sepp Schellhorn. Foto Facebook Wisma Putra.

KUALA LUMPUR, 2 Mei – Malaysia dan Austria komited memperkukuh kerjasama dalam pelbagai sektor utama terutamanya perdagangan dan pelaburan, tenaga boleh baharu, teknologi hijau, pendidikan dan pelancongan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perbincangan dua hala antara Timbalan Menteri Luar Malaysia dan Timbalan Menteri Austria mengukuhkan hubungan diplomatik dan kerjasama serantau.
  • Austria mengiktiraf Malaysia sebagai rakan strategik penting dan peranan Malaysia dalam memperkukuh hubungan ASEAN dan Kesatuan Eropah.
  • Perdagangan serta pelaburan meningkat ketara; 27 projek Austria diluluskan hingga 2025 dengan pelaburan besar dan potensi lebih 11,000 pekerjaan.

Komitmen dizahirkan menerusi mesyuarat dua hala Timbalan Menteri Luar, Datuk Lukanisman Awang Sauni bersama Timbalan Menteri Hal Ehwal Eropah dan Antarabangsa Republik Austria, Sepp Schellhorn yang mengadakan lawatan ke Malaysia pada 30 April.

Wisma Putra menerusi kenyataan memaklumkan kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama, termasuk hubungan Malaysia-Kesatuan Eropah dan situasi di Asia Barat.

“Austria mengiktiraf Malaysia sebagai rakan strategik penting di Asia Tenggara, selain mengakui peranan Malaysia dalam memperkukuh jalinan kerjasama antara ASEAN dan Kesatuan Eropah.

“Austria turut mengiktiraf kedudukan strategik Malaysia, ekonomi yang dinamik, serta peranannya sebagai hab serantau bagi perdagangan dan pelaburan, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai rakan semula jadi untuk kerjasama berimpak tinggi di rantau ini,” menurut kenyataan itu.

Austria merupakan rakan dagang kelapan terbesar Malaysia dalam kalangan negara-negara Kesatuan Eropah pada tahun lalu.

Jumlah perdagangan meningkat sebanyak 43.3%, mencecah RM6.35 bilion (USD1.49 bilion) berbanding RM4.43 bilion (USD0.97 bilion) yang direkodkan pada 2024.

Sehingga 2025, sebanyak 27 projek dengan penyertaan Austria telah diluluskan, melibatkan pelaburan berjumlah RM49.6 bilion (USD11.5 bilion) dan berpotensi mewujudkan 11,165 peluang pekerjaan.