MICE diyakini jadi tumpuan TMM 2026

Pengukuhan segeman MICE mampu menarik lebih ramai pelancong ke dalam negara/Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 2 Mei – Tourism Malaysia optimis sasaran 47 juta pelawat asing sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 mampu dicapai.

RINGKASAN BERITA AI
  • Segmen MICE diperkuatkan kerana pergerakan berkumpulan berpotensi menyumbang jumlah ketibaan yang lebih besar.
  • Kemudahan MICE bertaraf state of the art menjadikan Malaysia tumpuan utama bagi acara antarabangsa.
  • China, India, Australia, negara ASEAN serta pasaran jarak sederhana seperti Sri Lanka, Korea dan Jepun diberi tumpuan.
  • Tourism Malaysia juga mempromosi pelancongan santai, keluarga, pendidikan, agro dan ekopelancongan selaras trend pengalaman.

Keyakinan tersebut disokong pengukuhan segmen Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE).

Demikian dinyatakan Timbalan Pengarah Unit Asia Selatan, Bahagian Promosi Antarabangsa (Asia/Afrika) Tourism Malaysia, Solehuddin Ahmad.

Segmen tersebut antara tumpuan pelancong kerana ia melibatkan pergerakan secara berkumpulan, sekali gus berpotensi menyumbang kepada jumlah ketibaan yang lebih besar.

”Pastinya ia akan menyumbang kepada jumlah kemasukan pelancong yang ramai, ditambah dengan kemudahan MICE yang boleh kategorikan ‘state of the art so that’, Malaysia akan menjadi tumpuan utama.

”Antara negara yang diberi tumpuan termasuk China, India, Australia dan negara-negara ASEAN, selain pasaran jarak sederhana seperti Sri Lanka, Korea dan Jepun,” katanya.

Tambah beliau, ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat dan Timur Tengah turut mendorong Tourism Malaysia memperkukuh tumpuan kepada pasaran alternatif, khususnya pasaran jarak dekat dan sederhana.

India kekal antara pasaran penting, dengan agensi itu yakin sasaran 1.8 juta pelawat dari negara berkenaan tahun ini mampu dicapai, disokong kemudahan visa dan hubungan penerbangan sedia ada.

Selain MICE, Tourism Malaysia juga akan terus mempromosikan segmen lain termasuk pelancongan santai, keluarga, pendidikan, agro dan ekopelancongan, selaras trend pelancongan berasaskan pengalaman.