
SANDAKAN, 2 Mei – 81 lagi unit Wellness Hub di seluruh negara akan diwujudkan bagi memperkasakan agenda penjagaan kesihatan primer.
- Penekanan pada penjagaan kesihatan primer: pencegahan dan promosi untuk mengubah budaya daripada mendapatkan rawatan kepada mencegah sebelum sakit.
- Ahli Parlimen diminta aktif menarik sumbangan sektor swasta melalui CSR bagi mempercepat pembinaan fasiliti Wellness Hub di kawasan masing-masing.
- Pelancaran Kiosk Kesihatan Sihat Xpress berteknologi satelit bersama MEASAT memudahkan penduduk luar bandar melakukan saringan kesihatan kendiri.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, inisiatif tersebut penting bagi membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan komuniti agar masyarakat beralih daripada konsep mencari rawatan kepada konsep mencegah
sebelum sakit.
Beliau turut menyarankan agar Ahli Parlimen memainkan peranan aktif dengan menarik sumbangan pihak swasta menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi mempercepatkan pembinaan fasiliti berkenaan di kawasan masing-masing.

”Kita ambil pendekatan menjaga sebelum sakit, bukannya ketika kita dah sakit baru mendapatkan rawatan.
”Kita juga menekankan sekarang ni aspek utamanya adalah primary healthcare; prevention, promotive dan dalam konteks hari ini, Wellness Hub itu sebagai satu ‘extension touch-base’ yang terlibat secara langsung dengan komuniti dan rakyat,” katanya.
Terdahulu, beliau yang ditemui media pada majlis perasmian Wellness Hub Sandakan turut melancarkan Kiosk Kesihatan Sihat Xpress berteknologi satelit dengan kerjasama MEASAT bagi memudahkan penduduk luar bandar melakukan saringan kesihatan kendiri.