
KUALA LUMPUR, 1 Mei – Malaysia kekal antara negara yang mencatatkan prestasi tinggi dalam Indeks Keyakinan Pengguna Ipsos bagi April 2026, menduduki tangga kedua di Asia Tenggara dan keempat pada peringkat global.
- Sentimen pengguna susut akibat peningkatan ketidaktentuan global, termasuk konflik AS dan Iran.
- Kerajaan mengekalkan subsidi bahan api memberikan perlindungan penting, menyokong daya tahan ekonomi walaupun berdepan tekanan fiskal.
- Pengguna dijangka kurangkan perbelanjaan dan tunda pembelian bernilai tinggi akibat ketidakpastian dan tekanan inflasi.
- Perniagaan perlu sesuaikan strategi untuk puaskan pengguna berjimat yang peka harga sambil hadapi kos operasi dan gangguan rantaian bekalan.
Firma penyelidikan pasaran Ipsos Sdn Bhd (Ipsos) dalam satu kenyataan memaklumkan, pencapaian itu direkodkan meskipun penyusutan sentimen dengan Indeks Keyakinan Pengguna Malaysia susut 6.1 mata berbanding bulan sebelumnya, susulan peningkatan ketidaktentuan global akibat konflik di Asia Barat.
“Perang AS-Iran telah memberi tekanan ekonomi yang ketara di peringkat global dan di Malaysia dalam tempoh yang singkat sejak ia bermula.
Walaupun berdepan tekanan fiskal yang besar, kerajaan Malaysia telah memberikan perlindungan penting dengan mengekalkan subsidi bahan api, sekali gus meletakkan negara sebagai antara ekonomi yang paling berdaya tahan di rantau ini,” menurut kenyataan tersebut.
Menurut Ipsos, rakyat Malaysia dijangka menunjukkan perubahan corak perbelanjaan yang ketara termasuk mengurangkan perbelanjaan dan menangguhkan pembelian bernilai tinggi.
“Dengan ketidakpastian yang berterusan mengenai gencatan senjata dan gangguan berterusan kepada laluan perdagangan, tekanan inflasi berkemungkinan akan kekal dalam jangka masa terdekat,” jelas Ipsos.
Tambah Ipsos, keadaan itu sekaligus memerlukan perniagaan menyesuaikan strategi bagi memenuhi permintaan pengguna yang kini lebih berjimat dan peka terhadap harga, sambil berdepan peningkatan kos operasi termasuk logistik serta rantaian bekalan.