MPK anjur Program Bicara Santai Suara Peniaga

 Program Bicara Santai Suara Peniaga

KANGAR, 1 Mei – Majlis Perbandaran Kangar (MPK) menganjurkan Program Bicara Santai Suara Peniaga melibatkan ahli Dewan Perniagaan dan Perindustrian Tiong Hwa Perlis sebagai platform interaksi langsung bagi mengenal pasti isu serta permasalahan peniaga setempat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Inisiatif memperkukuh hubungan pengurusan MPK dengan komuniti perniagaan terutamanya masyarakat Cina.
  • Lebih 50 peniaga mengemukakan isu dan cadangan bagi memastikan kelancaran aktiviti ekonomi tempatan.
  • Isu utama termasuk pemutihan lesen, caj perkhidmatan, cabaran operasi dan kekurangan kemudahan infrastruktur.
  • MPK akan meneliti setiap pandangan untuk penyelesaian segera, pelan jangka pendek atau peruntukan tambahan.

Inisiatif itu dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh hubungan antara pengurusan MPK dan komuniti perniagaan khususnya dalam kalangan masyarakat Cina di negeri ini.

Yang Dipertua MPK, Affendi Rajini Kanth berkata, menerusi sesi pertemuan bersama lebih 50 peniaga, pelbagai isu serta cadangan penambahbaikan dibangkitkan bagi memastikan kelancaran aktiviti ekonomi tempatan.

“Antara isu utama diketengahkan termasuk pemutihan lesen perniagaan melibatkan caj bayaran yang dikenakan MPK, cabaran operasi perniagaan semasa, kemudahan infrastruktur kawasan niaga serta pelbagai perkara berkaitan penjanaan ekonomi.

“Setiap pandangan dan permasalahan yang dikemukakan akan diteliti secara menyeluruh sama ada melibatkan penyelesaian segera, pelan jangka pendek atau keperluan peruntukan tambahan.

“Setiap isu yang dibangkitkan akan diberikan perhatian sewajarnya demi memastikan kebajikan peniaga terus terpelihara serta ekonomi setempat dapat diperkukuh,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut merakamkan penghargaan atas keprihatinan serta cadangan dikemukakan para peniaga dalam usaha menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan pihak berkuasa tempatan.

Program yang berlangsung di Dewan Perniagaan dan Perindustrian Tiong Hwa itu turut dihadiri Exco Negeri, Izizam Ibrahim serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling.