
BEIRUT, 30 April – Sekurang-kurangnya sembilan orang terkorban termasuk dua kanak-kanak dalam serangan udara Israel di selatan Lubnan, ketika ketegangan berterusan meskipun gencatan senjata memasuki minggu kedua.
- Presiden Joseph Aoun mengecam pelanggaran Israel, memaklumkan serangan terus merosakkan rumah dan tempat ibadat serta meningkatkan jumlah korban.
- Aoun menyeru tekanan antarabangsa bagi memastikan Israel mematuhi undang-undang antarabangsa dan menghentikan serangan terhadap orang awam dan bantuan kemanusiaan.
- Tentera Israel menggesa penduduk lapan kampung di selatan Lubnan berpindah segera sebelum operasi ketenteraan dilancarkan.
- Hizbullah melancarkan operasi menentang tentera Israel dan serangan ke arah utara Israel sejak gencatan senjata bermula.
Kementerian Kesihatan menerusi kenyataan memaklumkan, serangan berkenaan turut mencederakan 23 individu, termasuk lapan kanak-kanak dan tujuh wanita.
Bercakap kepada delegasi Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah, Presiden Joseph Aoun sebelum ini mengecam pelanggaran berterusan Israel di selatan Lubnan.
Beliau berkata, serangan tersebut masih berlaku walaupun terdapat perjanjian gencatan senjata, termasuk kemusnahan rumah dan tempat ibadat, selain peningkatan jumlah korban setiap hari.
Pada Khamis, jurucakap tentera Israel turut menggesa penduduk di lapan kampung di selatan Lubnan supaya berpindah segera sebelum operasi ketenteraan dilancarkan.
Selepas gencatan senjata bermula pada 17 April, Israel mengisytiharkan “Garis Kuning” di sepanjang sempadan Lubnan sebagai zon operasi ketenteraan dan pemusnahan kampung.
“Tekanan perlu dikenakan ke atas Israel bagi memastikan ia mematuhi undang-undang dan konvensyen antarabangsa serta menghentikan serangan terhadap orang awam, paramedik, pertahanan awam dan organisasi kesihatan serta bantuan kemanusiaan,” kata Aoun kepada delegasi itu ketika tiga paramedik yang terbunuh dalam serangan Israel dikebumikan.
Sementara itu, media kerajaan Lubnan melaporkan beberapa siri serangan udara Israel berlaku di selatan negara itu sepanjang hari Khamis.
Dalam perkembangan berkaitan, kumpulan Hizbullah melancarkan beberapa operasi menyasarkan tentera Israel di selatan Lubnan serta serangan ke arah utara Israel sejak gencatan senjata berkuat kuasa.
Teks gencatan senjata yang diterbitkan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat memberikan hak kepada Israel untuk bertindak terhadap serangan yang dirancang, hampir berlaku atau sedang berlangsung. Namun, Hizbullah menolak klausa tersebut dengan alasan ia tidak pernah dibentangkan kepada kabinet Lubnan.
Pada Rabu, Aoun menyatakan bahawa teks itu adalah sama seperti yang digunakan dalam perjanjian November 2024 yang menamatkan konflik terdahulu dan telah dipersetujui semua pihak ketika itu.
Bagaimanapun, Speaker Parlimen Lubnan, Nabih Berri yang merupakan sekutu Hizbullah, menafikan kenyataan tersebut dengan menyifatkannya sebagai tidak tepat.-AFP