
KOTA KINABALU, 30 April – Mahkamah Majistret Tenom menetapkan hari ini bagi keputusan di akhir kes pendakwaan melibatkan pendakwah Ebit Irawan Lew atau Ebit Lew yang berdepan 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual.
- Mahkamah akan membuat keputusan akhir kes pada 4.30 petang ini.
- Majistret Nur Asyraf Zolhani tentukan sama ada panggil pembelaan atau bebaskan tertuduh.
- Perbicaraan bermula September 2022, 18 saksi pendakwaan telah memberi keterangan.
- Didakwa atas gangguan seksual termasuk hantaran gambar dan perkataan lucah melalui WhatsApp; pertuduhan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Peguam Datuk Ram Singh yang mewakili Ebit Lew mengesahkan perkara itu kepada Bernama.
“Mahkamah akan membuat keputusan pada 4.30 petang ini,” katanya.
Majistret Nur Asyraf Zolhani akan membuat keputusan sama ada Ebit Lew akan dipanggil membela diri atas pertuduhan tersebut atau membebaskannya. Perbicaraan kes itu bermula sejak September 2022 dengan 18 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad, Analia Kamaruddin dan Muhammad Hidayat Wahab manakala Ebit Lew turut diwakili peguam Kamarudin Mohmad Chinki dan Prabjit Singh Gill.
Ebit Lew, 38, berdepan 11 pertuduhan melakukan gangguan seksual termasuk mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 40-an dengan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah kepada mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.- BERNAMA