5 lagi maut dalam serangan terbaharu rejim Israel di selatan Lubnan

Foto REUTERS

BEIRUT, 30 April – Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dalam serangan udara terbaharu rejim Israel di selatan Lubnan pada Rabu, meskipun gencatan senjata sementara antara kedua-dua pihak masih berkuat kuasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Di Al-Hanniye tiga sekeluarga maut; di Jwaya dua terbunuh dan 22 cedera.
  • Serangan itu menambah kebimbangan terhadap kestabilan gencatan senjata dan pertempuran berskala kecil yang terus dilaporkan.
  • Presiden AS mengumumkan gencatan senjata 10 hari pada 16 April untuk membuka rundingan perjanjian keselamatan lebih kekal.
  • Menurut angka rasmi Lubnan sejak 2 Mac, serangan Israel mengakibatkan 2,534 maut, 7,863 cedera dan lebih 1.6 juta kehilangan tempat tinggal.

Di Al-Hanniye, daerah Tyre, tiga sekeluarga maut dalam serangan, manakala di Jwaya, dua lagi terbunuh dan 22 orang cedera.

Perkembangan terbaharu itu menambah kebimbangan terhadap kestabilan gencatan senjata yang diumumkan pertengahan bulan ini, ketika serangan udara dan pertempuran berskala kecil masih terus dilaporkan di selatan Lubnan.

Terdahulu, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan gencatan senjata selama 10 hari antara Israel dan Lubnan pada 16 April, yang mula berkuat kuasa hari sama, bagi membuka ruang kepada rundingan ke arah perjanjian keselamatan yang lebih kekal.

Bagaimanapun, gencatan senjata itu sejak awal lagi dilihat rapuh apabila kedua-dua pihak terus saling menuduh berlaku pelanggaran, termasuk serangan udara, bedilan roket dan operasi ketenteraan di kawasan sempadan.

Menurut angka rasmi Lubnan, serangan Israel sejak 2 Mac telah mengorbankan sekurang-kurangnya 2,534 orang, mencederakan 7,863 yang lain dan menyebabkan lebih 1.6 juta penduduk kehilangan tempat tinggal.