
SANDAKAN, 29 April -Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menawarkan moratorium bayaran balik pinjaman selama enam bulan kepada usahawan yang terjejas akibat kebakaran di Kampung Bahagia, di sini.
- Peminjam TEKUN dan agensi perbankan bawah KUSKOP akan dibantu bagi usahawan yang kehilangan punca pendapatan.
- Amanah Ikhtiar Malaysia tawarkan modal RM5,000 dan elaun hospital RM50 sehari untuk memulihkan perniagaan dan rawatan.
- Suruhanjaya Koperasi Malaysia sediakan bantuan kecemasan hingga RM30,000, bantuan segera RM3,000, dan agihan 400 bakul makanan.
Inisiatif berkenaan bagi meringankan beban kewangan mangsa terlibat.
Timbalan Menterinya, Datuk Mohamad Alamin berkata kemudahan itu melibatkan peminjam di bawah TEKUN Nasional serta agensi perbankan di bawah kementerian bagi membantu usahawan yang kehilangan punca pendapatan.
Beliau menjelaskan usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang terkesan akan ditawarkan bantuan modal sebanyak RM5,000 untuk memulakan semula perniagaan, selain elaun hospital RM50 sehari bagi mereka yang mendapat rawatan.
“Manakala melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), bantuan kecemasan sehingga RM30,000 disediakan untuk koperasi terlibat, selain bantuan segera RM3,000 bagi tujuan memulakan operasi,” katanya kepada pemberita pada program CSR KUSKOP & Agensi di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan PPR Batu Sapi, di sini hari ini.
Dalam lawatan tersebut, KUSKOP turut mengagihkan 400 bakul makanan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) di perumahan berkenaan.
Mohamad turut memberi jaminan bahawa kementerian akan memberikan perhatian serius serta keutamaan terhadap sebarang permohonan dana pinjaman baharu daripada para mangsa dalam masa terdekat.
“Kita faham, usahawan kita ini kebanyakan bukan orang-orang senang kerana mereka terdiri daripada pengusaha PMKS (Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana). Pastinya mereka amat memerlukan bantuan ini.
“Insya-Allah saya bersama pasukan akan terus memantau keadaan ini dan jika diperlukan, kami akan meminta semua agensi turun ke bawah sekali lagi untuk membantu,” katanya.