Sistem hidromekanikal, elektrikal perlu diperkasa, tangani cabaran pengurusan air

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad

PUTRAJAYA, 28 April– Sistem hidromekanikal dan elektrikal yang menjadi komponen penting dalam infrastruktur air negara perlu diperkasa bagi memastikan kesiapsiagaan menghadapi kejadian bencana air, khususnya ketika situasi kritikal.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengurusan air perlu beralih dari operasi konvensional dan manual kepada teknologi pintar dan responsif.
  • Memanfaatkan pemantauan pintar dan Kecerdasan Buatan untuk analisis data berterusan bagi pengurusan lebih cekap dan tepat.
  • Integrasi teknologi membolehkan ramalan lebih jitu serta menyokong keputusan operasi yang pantas dan berkesan.
  • Langkah strategik termasuk penggunaan pam bergerak di lokasi kritikal untuk mempercepat pengaliran, kurangkan beban saliran dan percepat pemulihan pascabencana.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata kebergantungan kepada pendekatan konvensional dan operasi manual semata-mata tidak lagi memadai untuk mendepani landskap pengurusan air moden.

Jelasnya, sektor pengurusan air kini harus beralih kepada penggunaan teknologi yang lebih pintar dan responsif bagi meningkatkan kecekapan operasi.

“Kita perlu memanfaatkan teknologi moden termasuk sistem pemantauan pintar dan Kecerdasan Buatan (AI) bagi memperkukuh pengurusan air negara.”

“Teknologi ini membolehkan analisis data dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan pengurusan yang lebih cekap dan tepat,” kata beliau ketika berucap merasmikan program Mechanical and Electrical on Water Symposium (MEWS) 2026, di sini, hari ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa integrasi teknologi berkenaan membolehkan ramalan dibuat dengan lebih jitu, sekali gus menyokong keputusan operasi yang lebih pantas serta berkesan.

Langkah proaktif itu dilihat penting bagi memastikan infrastruktur air negara kekal stabil dan berdaya tahan dalam mendepani cabaran perubahan iklim serta risiko bencana pada masa hadapan.

Mengulas lanjut mengenai kesiapsiagaan bencana, beliau memaklumkan kementerian telah mengambil pelbagai langkah strategik, termasuk mempertingkat penggunaan pam air di lokasi kritikal.

“Dalam beberapa insiden banjir sebelum ini, penggunaan pam bergerak terbukti berkesan dalam mempercepat proses pengaliran air dari kawasan terjejas. Ia secara tidak langsung mengurangkan beban sistem saliran sedia ada serta mempercepat fasa pemulihan kawasan pascabencana,” tambah beliau.