
KUALA LUMPUR, 6 Mei – Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi menegaskan hanya dua pasangan terbaik Malaysia akan dipilih untuk menggalas cabaran negara dalam acara berpasukan di Sukan Asia 2026.
- Pemilihan pasangan berdasarkan prestasi semasa dalam kejohanan penting seperti Kejohanan Dunia dan siri Jelajah Dunia akan datang.
- Skuad sedia ada jadi asas persiapan, namun masih ada ruang penilaian dan penambahbaikan sebelum senarai akhir.
- Pemain dipantau rapi termasuk kecergasan Man Wei Chong, dan jadual kejohanan dipilih rapi untuk elak kecederaan.
Beliau berkata pemilihan itu akan dibuat berdasarkan prestasi semasa pemain dalam beberapa kejohanan penting menjelang temasya berkenaan, termasuk Kejohanan Dunia dan beberapa siri Jelajah Dunia akan datang.
Herry berkata skuad sedia ada kini menjadi asas utama persiapan, namun masih terdapat ruang untuk penilaian dan penambahbaikan sebelum senarai akhir dimuktamadkan.
“Peraturannya setiap negara cuma boleh maksimum dua pasangan, jadi kita akan pilih yang terbaik, yang boleh main pada Sukan Asia. Tidak seperti pada Piala Thomas yang ada tiga pasangan.
“Yang ada sekarang ini ialah pemain yang kita siapkan tetapi sebelum Sukan Asia masih ada beberapa kejohanan penting untuk kita nilai kekuatan dan kelemahan mereka,” katanya kepada pemberita, baru-baru ini.
Sehubungan dengan itu, beliau menuntut semua pemain bekerja lebih keras bagi memastikan mereka berada pada tahap terbaik menjelang dua kejohanan berprestij itu.
Mengulas peluang pasangan lain seperti pasangan muda, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King untuk menembusi skuad Sukan Asia, Herry tidak menolak kemungkinan sekiranya mereka mampu mempamerkan prestasi konsisten dalam kejohanan akan datang.
Dalam perkembangan lain, Herry memaklumkan keadaan fizikal pemain, khususnya Man Wei Chong akan dipantau rapi bagi memastikan beliau tidak berdepan risiko kecederaan menjelang kejohanan utama.
Beliau berkata perancangan jadual kejohanan telah disusun dengan teliti termasuk pemilihan kejohanan yang sesuai bagi memastikan pemain berada dalam kondisi terbaik.
“Tidak semua kejohanan kita akan sertai, kita akan pilih antara kejohanan di Malaysia, Singapura dan Indonesia bergantung kepada keadaan pemain,” katanya.
Sukan Asia 2026 akan berlangsung dari 19 Sept hingga 4 Okt di Aichi-Nagoya, Jepun.-Bernama
<<CK>>