Saka bawa Arsenal ke pentas akhir Liga Juara Eropah selepas 20 tahun

Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, memeluk pemain tengah Arsenal, Bukayo Saka, selepas memenangi perlawanan separuh akhir kedua Liga Juara Eropah antara Arsenal dan Atletico Madrid di Stadium Emirates / AFP

LONDON, 6 Mei – Jaringan Bukayo Saka memastikan Arsenal mara ke perlawanan akhir Liga Juara Eropah buat kali pertama dalam tempoh 20 tahun selepas menewaskan Atletico Madrid 1-0 pada aksi separuh akhir kedua.

RINGKASAN BERITA AI
  • Arsenal kembali ke perlawanan akhir Liga Juara Eropah buat pertama kali sejak 2006.
  • Final menentang sama ada PSG atau Bayern di Budapest pada 30 Mei.
  • Juara bertahan PSG memiliki kelebihan agregat 5-4 sebelum perlawanan timbal balik menentang Bayern.
  • Perlawanan sengit; Atletico hampir menjaringkan awal, Arsenal menguasai dan gol datang selepas sambaran dari percubaan Leandro Trossard.

Gol tunggal Saka pada minit ke-44 di Stadium Emirates sudah cukup untuk memberikan kemenangan agregat 2-1 kepada skuad kendalian Mikel Arteta, selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam perlawanan pertama di Madrid.

Kemenangan itu menyaksikan Arsenal kembali ke pentas akhir buat kali pertama sejak 2006, ketika mereka tewas 1-2 kepada Barcelona dalam satu-satunya penampilan sebelum ini.

Arsenal bakal berdepan sama ada Paris Saint-Germain (PSG) atau Bayern Munich pada perlawanan akhir yang dijadual berlangsung di Budapest pada 30 Mei ini.

Juara bertahan PSG ketika ini memiliki kelebihan agregat 5-4 menjelang aksi timbal balik menentang Bayern di Munich.

Perlawanan di London berlangsung sengit apabila Atletico hampir membuka jaringan menerusi percubaan Julian Alvarez dan Giuliano Simeone pada awal permainan.

Namun Arsenal bangkit menguasai perlawanan sebelum memperoleh gol menerusi Saka, yang pantas menyambar bola muntah hasil percubaan Leandro Trossard.

Pada separuh masa kedua, Atletico cuba mengasak, namun pertahanan Arsenal berjaya mengekang serangan, termasuk tindakan penting Gabriel Magalhaes yang menyelamatkan keadaan serta ketangkasan penjaga gol David Raya menafikan percubaan Antoine Griezmann.

Kejayaan ini meletakkan Arsenal di landasan untuk mencipta musim bersejarah apabila turut berada di kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris dan berpeluang merangkul kejuaraan berganda.

Skuad Arteta kini hanya selangkah lagi untuk menjulang trofi Liga Juara pertama dalam sejarah kelab. – AFP