Serangan Rusia di Ukraine bunuh 21 orang

Orang awam berkumpul berhampiran mangsa serangan udara Rusia di Kramatorsk, Ukraine/AFP

KYIV, 6 Mei- Sekurang-kurangnya 21 orang terbunuh dan puluhan lagi cedera dalam siri serangan Rusia yang melanda beberapa bandar di Ukraine termasuk Zaporizhzhia, Kramatorsk dan Dnipro pada Selasa, menurut pihak berkuasa Ukraine.

RINGKASAN BERITA AI
  • Zelensky mengutuk serangan itu sebagai tindakan tanpa sebarang justifikasi ketenteraan.
  • Kematian dilaporkan di Zaporizhzhia, Kramatorsk dan Dnipro menurut kenyataan Zelensky.
  • Sekurang-kurangnya 70 orang cedera dalam siri serangan dianggap paling mematikan minggu kebelakangan ini.
  • Ketegangan diplomatik berterusan selepas panggilan telefon antara Marco Rubio dan Sergei Lavrov tanpa butiran lanjut.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky mengecam serangan berkenaan dan menyifatkannya sebagai tindakan yang tidak mempunyai sebarang justifikasi ketenteraan.

Di Zaporizhzhia, sekurang-kurangnya 12 orang dilaporkan terbunuh dalam serangan yang berlaku berhampiran kawasan pertempuran, manakala lima lagi maut di Kramatorsk selepas pusat bandar itu menjadi sasaran.

Empat lagi kematian dilaporkan di Dnipro dalam serangan berasingan, menurut kenyataan Zelensky.

Pihak berkuasa Ukraine memaklumkan sekurang-kurangnya 70 orang turut cedera dalam siri serangan tersebut yang disifatkan antara serangan paling banyak meragut nyawa dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Dalam perkembangan berkaitan, ketegangan diplomatik turut berterusan apabila Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio mengadakan perbualan telefon dengan Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov tanpa butiran lanjut didedahkan oleh Washington.

Ukraine dan Rusia sebelum ini terus bertukar tuduhan ketika kedua-dua pihak meningkatkan serangan balas menjelang sambutan Hari Kemenangan Rusia pada 9 Mei.  -AFP