Remaja 13 tahun tembak mati dua pekerja sekolah di BraziL

Foto dikongsi di media sosial menunjukkan suspek dan sepucuk pistol jenis .380 yang dipercayai digunakan dalam kejadian tembakan di sebuah sekolah di Brazil pada Selasa

RIO BRANCO, 6 Mei- Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun di Brazil menembak mati dua pekerja sekolah dan mencederakan dua individu lain termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dalam insiden di sebuah sekolah pada Selasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suspek menyerah diri kepada polis selepas kejadian.
  • Bapa tiri ditahan selepas pistol .380 yang digunakan dipercayai milik beliau.
  • Semua sekolah negeri ditutup tiga hari dan pasukan sokongan psikologi digerakkan.

Kejadian berlaku di Sao Jose Institute, sebuah sekolah menengah rendah di Rio Branco, Acre, apabila suspek yang juga pelajar institusi berkenaan memasuki bangunan sebelum melepaskan beberapa das tembakan berhampiran pejabat pengetua.

“Suspek menyerah diri kepada pihak polis selepas kejadian,” kata jurucakap polis tentera Acre, Letnan Kolonel Felipe Russo.

Beliau berkata bapa tiri suspek turut ditahan selepas mendapati pistol jenis .380 yang digunakan dalam serangan berkenaan adalah milik lelaki itu.

Pihak polis juga sedang mengenal pasti beberapa pelajar lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden tersebut.

Sementara itu, seorang saksi yang juga penyambut tetamu di hotel berhampiran, Eduardo Rodrigues Cavalcante berkata suasana menjadi panik apabila pelajar cuba menyelamatkan diri.

“Ramai pelajar cuba melarikan diri — ada yang memanjat tembok setinggi enam meter untuk menyelamatkan diri. Saya dengar bunyi tembakan dan jeritan kuat,” katanya.

Susulan kejadian, semua sekolah di negeri berkenaan ditutup selama tiga hari dan pasukan sokongan psikologi digerakkan bagi membantu pelajar serta guru.

Brazil sejak beberapa tahun kebelakangan ini menyaksikan peningkatan kes serangan di institusi pendidikan. -AFP