AI bantu “hidupkan semula” wajah mangsa letusan Pompeii

FOTO REUTERS

ROM, 27 April – Buat pertama kali, ahli arkeologi di Pompeii, Itali menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk membina semula wajah salah seorang mangsa letusan gunung berapi yang memusnahkan bandar purba itu hampir 2,000 tahun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Imej AI diumumkan oleh Pompeii Archaeological Park berdasarkan rangka lelaki dewasa ditemui berhampiran pintu selatan, disertai lesung, lampu dan 10 syiling gangsa.
  • Ahli arkeologi percaya lelaki itu maut akibat hujan batuan pada hari kedua letusan ketika menuju ke arah laut.
  • Pengarah Gabriel Zuchtriegel berkata AI dijangka jadi alat penting untuk memaparkan warisan Pompeii kepada khalayak lebih luas.

Imej yang dihasilkan AI itu diumumkan oleh Pompeii Archaeological Park, berdasarkan penemuan terbaru rangka seorang lelaki dewasa berhampiran pintu selatan bandar berkenaan.

Rangka tersbut ditemui bersama sebuah lesung tanah liat, dipercayai digunakan sebagai perlindungan, selain membawa lampu dan 10 syiling gangsa ketika cuba melarikan diri.

Ahli arkeologi percaya lelaki itu maut akibat hujan batuan gunung berapi pada awal hari kedua letusan ketika menuju ke arah laut.

Menurut Pengarah taman arkeologi itu, Gabriel Zuchtriegel, penggunaan AI dijangka memainkan peranan lebih besar dalam usaha memaparkan warisan sejarah kepada masyarakat.

“Ia adalah alat yang akan menjadi semakin penting pada masa hadapan, khususnya untuk mempersembahkan warisan kompleks ini kepada khalayak yang lebih luas,” katanya.

Bandar Pompeii, yang terletak kira-kira 25 kilometer dari Naples, musnah akibat letusan Mount Vesuvius pada tahun 79 Masihi.

Kejadian itu menimbus bandar tersebut di bawah lapisan abu tebal, sekali gus memelihara bangunan, artifak dan grafiti dalam keadaan hampir sempurna.

Ditemui semula pada abad ke-18, Pompeii kini menjadi antara tapak arkeologi paling penting di dunia serta destinasi pelancongan utama Itali, dengan kira-kira 4.3 juta pelawat direkodkan pada tahun 2024.-REUTERS

AI bantu “hidupkan semula” wajah mangsa letusan Pompeii