
KUALA LUMPUR, 28 April – Isu politik semasa di Negeri Sembilan tidak menjejaskan keharmonian hubungan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
- Datuk Fahmi mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, menerima pandangan beliau dan memberikan keyakinan.
- Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Dialog Keselamatan Dalam Talian Asia Pasifik (APAC) Google 2026 di ibu negara.
- Pakatan Harapan akan mengadakan konvensyen pada 17 Mei di Johor untuk menetapkan hala tuju dan mendengar suara akar umbi negeri.
Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil menegaskan, situasi itu sekali gus tidak menganggu kelancaran dan kestabilan pentadbiran Kerajaan Persekutuan.
“Setakat ini, keadaan tidak terjejas. Ini mungkin satu situasi yang agak unik bagi Negeri Sembilan. Namun, di peringkat Kerajaan Persekutuan, kita sentiasa prihatin terhadap perkembangan yang sedang berlaku.
“Semalam, saya telah mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Beliau menyampaikan beberapa pandangan, dan saya menerima pandangan tersebut dengan baik serta memberikan keyakinan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Dialog Keselamatan Dalam Talian Asia Pasifik (APAC) Google 2026 di ibu negara.
Dalam pada itu, Datuk Fahmi turut memaklumkan bahawa Pakatan Harapan (PH) bakal mengadakan konvensyen pada 17 Mei depan di Johor dan ia dijangka menjadi platform untuk menetapkan hala tuju parti.
“Di peringkat pimpinan, kita sedia maklum Pakatan Harapan Negeri Sembilan telah membuat pengumuman semalam.”
“Di peringkat pusat pula, saya percaya pimpinan akan menetapkan hala tuju, insya-Allah, pada 17 Mei ini dan ia menjadi satu platform yang baik untuk pimpinan mendengar suara dari peringkat akar umbi di negeri-negeri mengenai hala tuju yang perlu diambil,” katanya.