Isu Negeri Sembilan akan diselesai menerusi saluran politik

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi/ BERNAMA

CYBERJAYA, 28 April Isu semasa yang berlaku di Negeri Sembilan akan diselesaikan menerusi saluran politik, tanpa mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri atau undang-undang adat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ikut undang-undang tubuh Negeri Sembilan dan peraturan Dewan Undangan Negeri serta prosedur sedia ada.
  • Keutamaan adalah mencari penyelesaian terbaik bagi memastikan kestabilan negeri terus terpelihara.
  • Memastikan sebuah kerajaan negeri yang kukuh terus melayani dan mendepani permasalahan rakyat.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata keutamaan ketika ini adalah untuk mencari penyelesaian terbaik bagi memastikan kestabilan di negeri itu terus terpelihara.

“Kita ikuti undang-undang tubuh kerajaan Negeri Sembilan, dan peraturan Dewan Undangan Negeri (DUN) khususnya di Negeri Sembilan.

“Pada hemat saya tidak semudah itu dan yang paling baik ialah ikuti semua peraturan yang ada dan prosedur bagi menentukan bahawa peraturan itu diikuti terlebih dahulu.

“Saya akan menyelesaikan kemelut yang ada ini melalui politik dan kita tidak akan pernah campur urusan pentadbiran kerajan negeri atau dalam undang-undang adat Negeri Sembilan.

“Kita akan mencari penyelesaian terbaik untuk menentukan sebuah kerajaan kukuh di Negeri Sembilan dapat terus melayani dan mendepani permasalahan rakyat”, katanya.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata demikian kepada media selepas Sambutan Hari Penguat Kuasa KPDN ke-54 dan Pelancaran Dasar Pengguna 2.0 di Cyberjaya.