
KUALA LUMPUR, 28 April – Seramai 42 pelajar dan 17 pensyarah dari 13 institusi di China yang menawarkan pengajian Bahasa Melayu menyertai Kem Interaksi Bahasa dan Budaya Belia China-Malaysia 2026 sebagai platform mengeratkan hubungan dua hala.
- Program mempererat hubungan dua hala melalui pendidikan, bahasa dan budaya.
- Mengukuhkan kuasa lunak kerana pengalaman budaya dan bahasa dibawa pulang pelajar.
- Memperluas kerjasama dalam penyelidikan, teknologi dan industri sambil melahirkan pelajar sebagai 'duta kecil' hubungan dua hala.
Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Penyelidikan), Prof. Dr. Zainal Amin Ayub berkata, program berkenaan turut berperanan mempererat kerjasama kedua-dua negara melalui pendekatan pendidikan, bahasa dan budaya.
“Mereka ini amat berminat untuk belajar dan memahami budaya serta bahasa, kita anggap sebagai kuasa lunak ataupun soft power kerana inilah yang akan dibawa kembali ke negara mereka nanti iaitu salah satu pengalaman yang baik dan yang indah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Selamat Pagi Malaysai di Angkasapuri Kota Media.
Kem Interaksi Bahasa dan Budaya Belia China-Malaysia 2026 berlangsung dari 27 hingga 30 April itu turut diperluaskan dengan kerjasama dalam bidang penyelidikan, teknologi dan industri.
Perkembangan positif itu disokong minat terhadap Bahasa Melayu di China semakin meningkat dengan kira-kira 18 universiti kini menawarkan program tersebut.
Ketika ini, kira-kira 62,000 pelajar China sedang melanjutkan pengajian di Malaysia, antara jumlah terbesar pelajar antarabangsa di negara ini.
Pelajar dari Jilin International Studies University, Hu Zhanpeng (Amzar) yang ditemui berkata, jurusan Bahasa Melayu dilihat sebagai penghubung antara China dan Malaysia melalui bahasa.
“Ketika saya memilih jurusan Bahasa Melayu sebagai subjek utama di universiti. Saya fikir penguasaan dalam Bahasa Melayu akan membina jambatan hubungan antara China dan Malaysia,” katanya.
Seorang lagi pelajar dari Beijing Foreign Studies University, Shiminghao (Rayyan), menyifatkan dirinya sebagai ‘duta kecil’ dalam memainkan peranan mengeratkan komunikasi antara kedua-dua negara.
“Saya sebagai pelajar Bahasa Melayu merasakan perlu menjadi duta kecil untuk membantu memperkukuh komunikasi antara kedua-dua negara. Walaupun peranan ini kecil, saya menganggapnya sebagai satu tanggungjawab,” katanya.