
KUALA LUMPUR, 28 April — Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menegaskan komitmen berterusan dalam memperkukuh agenda sukan bersih negara, dengan menjadikan kes-kes doping sebagai iktibar penting dalam usaha membina kontinjen Malaysia yang berintegriti menjelang Sukan SEA 2027.
- ADAMAS mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan untuk memastikan persekitaran sukan bebas daripada amalan doping.
- Dua atlet bina badan digantung tiga dan empat tahun selepas ujian mengesan stanozolol dan metenolone.
- Semua pihak, termasuk atlet dan pegawai sokongan, diseru agar lebih peka dan bertanggungjawab terhadap isu doping.
- Atlet tertakluk kepada Prinsip Kebertanggungjawaban Mutlak, pemahaman dan integriti tinggi diperlukan untuk kejayaan sukan bersih.
Melalui Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS), KBS terus mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan persekitaran sukan bebas daripada sebarang amalan yang mencemari semangat kesukanan.
Semua pihak, termasuk atlet dan pegawai sokongan, diseru agar lebih peka serta bertanggungjawab dalam menangani isu doping yang boleh menjejaskan reputasi negara di pentas antarabangsa.
Dalam perkembangan berkaitan, dua atlet bina badan negara telah dikenakan hukuman penggantungan masing-masing selama tiga dan empat tahun, berkuat kuasa 16 Disember 2025.
Tindakan tegas itu diambil selepas ujian semasa pertandingan mengesahkan kehadiran bahan terlarang iaitu stanozolol dan metenolone, berdasarkan analisis makmal yang diiktiraf Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) di Doha.
Sehubungan itu, kedua-dua atlet terbabit dilarang menyertai sebarang aktiviti sukan di bawah mana-mana badan yang menandatangani Kod Anti-Doping Dunia sepanjang tempoh penggantungan berkenaan.
Ketegasan ADAMAS dalam melindungi integriti sukan turut terserlah menerusi tindakan terhadap kes-kes terdahulu, termasuk penyalahgunaan steroid anabolik androgenik melibatkan atlet angkat berat pada 2022. Selain itu, seorang atlet olahraga turut digantung selama dua tahun pada 2023 selepas didapati positif bahan terlarang sibutramine.
KBS menegaskan bahawa setiap atlet tertakluk kepada Prinsip Kebertanggungjawaban Mutlak, yang menetapkan bahawa mereka bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang bahan yang ditemui dalam tubuh badan masing-masing, tanpa mengira niat atau sebab.
Menurut kementerian itu, pemahaman yang jelas mengenai prinsip tersebut serta pengamalan integriti yang tinggi dalam kalangan atlet diyakini mampu memastikan setiap kejayaan negara dicapai secara bersih, adil dan membanggakan.