Polis guna gas pemedih mata, protes Papua bertukar ganas

FOTO REUTERS

JAYAPURA, 27 April – Perhimpunan ratusan pelajar dan orang awam di wilayah bergolak Papua bertukar tegang apabila berlaku pertembungan dengan pasukan keselamatan, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Protes menuntut pengunduran tentera susulan dakwaan operasi menewaskan 15 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak.
  • Suruhanjaya hak asasi mengesahkan kematian dan menggesa kerajaan menilai semula operasi, tentera belum mengesahkan korban.
  • Polis kata kira-kira 800 penunjuk perasaan berhimpun di tiga lokasi sebelum bergerak ke pusat bandar.
  • Polis melepaskan gas pemedih mata dan menggunakan meriam air selepas batu dibaling; lima anggota cedera, tiada laporan penunjuk perasaan cedera.

Protes tersebut diadakan bagi menuntut pengunduran anggota tentera dari wilayah berkenaan susulan dakwaan operasi ketenteraan awal bulan ini mengorbankan 15 individu, termasuk wanita dan kanak-kanak.

Suruhanjaya hak asasi manusia negara itu sebelum ini mengesahkan kematian berkenaan dan menggesa kerajaan Indonesia menilai semula operasi di kawasan terbabit, namun pihak tentera setakat ini belum mengesahkan sebarang korban.

Jurucakap polis wilayah Papua, Cahyo Sukarnito berkata kira-kira 800 penunjuk perasaan berhimpun di tiga lokasi di ibu negeri Jayapura sebelum bergerak ke pusat bandar.

Menurut beliau, polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata serta menggunakan meriam air di salah satu lokasi selepas penunjuk perasaan bertindak membaling batu.

“Lima anggota polis dilaporkan cedera, namun tiada laporan kecederaan dalam kalangan penunjuk perasaan,” katanya.

Papua kekal sebagai wilayah sensitif yang sering bergolak, selain menjadi lokasi kepada lombong emas dan tembaga kedua terbesar di dunia, iaitu Grasberg Mine, yang dimiliki bersama kerajaan Indonesia dan syarikat perlombongan Amerika Syarikat, Freeport-McMoRan.-REUTERS