Kala Maharaja PKINK, Sri Kandi Tumpat ungguli Pertandingan Dikir Barat RTM 2026

Johan kategori lelaki membawa pulang wang tunai RM30,000, manakala johan kategori wanita pula RM25,000.

KUALA LUMPUR, 26 April – Kemuncak Pertandingan Dikir Barat RTM 2026 menutup tirai pada Sabtu dengan menyaksikan kumpulan Kala Maharaja Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dinobatkan sebagai johan kategori lelaki, manakala Sri Kandi Tumpat pula kategori wanita.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kala Maharaja PKINK dinobatkan johan kategori lelaki serta merangkul Tok Jogho Lelaki dan Tukang Karut Lelaki Terbaik.
  • Sri Kandi Tumpat johan kategori wanita dan anggota mencatat kemenangan Tok Jogho Wanita serta Tukang Karut Wanita Terbaik.
  • Edisi ke-22 mencipta sejarah dengan penyertaan wanita buat julung kalinya.

Kumpulan Kala Maharaja PKINK turut mendominasi pentas akhir apabila dua ahlinya merangkul anugerah individu iaitu Tok Jogho Lelaki Terbaik serta Tukang Karut Lelaki Terbaik.

Sri Kandi Tumpat juga mencipta kejayaan berganda apabila dua anggotanya meraih anugerah Tok Jogho Wanita Terbaik dan Tukang Karut Wanita Terbaik.

Dalam pada itu, kumpulan Sri Andani menerima Anugerah Khas Raja Perfume Malaysia sebagai pengiktirafan terhadap persembahan menarik yang ditonjolkan sepanjang pertandingan.

Penganjuran edisi ke-22 ini melakar sejarah tersendiri apabila menyaksikan penyertaan wanita buat julung kalinya.

Kemuncak Pertandingan Dikir Barat RTM 2026 yang berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media, ibu negara turut diserikan dengan persembahan pembukaan berunsurkan kesenian tradisional dari Kelantan iaitu Main Puteri.

Ia bukan saja menambah nilai estetika pada malam kemuncak itu, malah memperkukuh penghayatan penonton terhadap seni budaya Melayu.

Johan kategori lelaki membawa pulang wang tunai RM30,000, manakala johan kategori wanita pula RM25,000, sementara Tok Jogho Lelaki Terbaik serta Tukang Karut Lelaki Terbaik, masing-masing menerima RM4,000 dan RM5,000.

Manakala Tok Jogho Wanita Terbaik dan Tukang Karut Wanita Terbaik, masing-masing memperoleh RM3,000 dan RM4,000.

Bagi Anugerah Khas Raja Perfume, penerimanya memperoleh RM3,000.