Rakyat Iran disaran berjimat cermat penggunaan tenaga

Presiden Masoud Pezeshkian (kanan) bertemu Ketua Tentera Pakistan Asim Munir di Tehran/Foto REUTERS 

TEHRAN, 26 April – Presiden Iran, Masoud Pezeshkian pada Sabtu menyeru rakyatnya agar menghadkan penggunaan tenaga di premis masing-masing.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pezeshkian memberi amaran AS dan Israel berusaha menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan rakyat.
  • Beliau menuduh musuh menyasarkan infrastruktur dan mengenakan sekatan untuk menyebabkan rakyat bangkit menentang kerajaan.
  • Infrastruktur tenaga semakin usang dan kekurangan pelaburan, sementara sekatan menyekat akses teknologi, membuat grid tidak mampu menampung permintaan.
  • Agensi Tenaga Antarabangsa melaporkan hampir empat perlima elektrik Iran dijana daripada pembakaran gas asli.

Beliau turut memberi amaran bahawa meskipun negara itu masih lagi mempunyai bekalan yang mencukupi ketika ini, namun Amerika Syarikat (AS) dan Israel akan berusaha menimbulkan “perasaan tidak puas hati” di kalangan rakyatnya.

“Saya mempunyai satu pemintaan mudah iaitu untuk rakyat mengurangkan penggunaan elektrik dan tenaga,”kata Pezeshkian menerusi siaran televisyen tempatan.

“Kita tidak memerlukan rakyat berkorban buat masa ini, tetapi kita perlu mengawal penggunaan. Daripada menyalakan 10 lampu, cukup dua lampu di rumah, apa salahnya,” tambahnya.

Meskipun kempen perang oleh AS dan Israel terhadap Iran, tiada laporan gangguan bekalan elektrik di Tehran dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Pezeshkian menuduh musuh Iran menyasarkan infrastruktur dan mengenakan sekatan dengan tujuan rakyat bangkit menentang kerajaan.

Presiden Donald Trump berulang kali mengancam untuk memusnahkan infrastruktur tenaga Iran namun setakat ini belum melaksanakannya.

Menurut Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), negara itu menjana hampir empat perlima bekalan elektriknya daripada pembakaran gas asli, sumber daripada hasil rizab gas yang besar.

Bagaimanapun, infrastruktur yang semakin usang, kekurangan pelaburan serta kesan sekatan antarabangsa yang ketat terutama dari AS sehingga menyekat akses kepada teknologi dan pelaburan menyebabkan grid elektrik negara itu tidak mampu menampung permintaan.

Sebelum ini, Pezeshkian turut melancarkan beberapa kempen kesedaran awam bagi mengurangkan penggunaan tenaga. – AFP