Malaysia tawar diri terajui Protokol Sumud

Pengerusi Kaukus Parlimen Malaysia Untuk Palestin, Syed Ibrahim Syed Noh

KUALA LUMPUR, 27 April – Malaysia meletakkan keutamaan untuk memperkukuh protokol bantuan kemanusiaan Global Sumud hasil penandatangan deklarasi di Brussels pada 23 April lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia menawarkan diri mengetuai pelaksanaan Protokol Sumud bagi mengaturkan bantuan kemanusiaan kepada Palestin.
  • Protokol mensyaratkan pematuhan SOP utama untuk memastikan bantuan tersusun, berkesan dan menyokong pembebasan rakyat serta tanah Palestin.
  • Syed Ibrahim menyeru sokongan kolektif ahli parlimen, NGO dan antarabangsa bagi menekan pelanggar hak asasi secara adil dan bersatu.

Pengerusi Kaukus Parlimen Malaysia Untuk Palestin, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, pada Kongres Parlimen Global Sumud di ibu negara Belgium itu baru-baru ini, Malaysia menawarkan diri untuk memainkan peranan utama dalam pelaksanaan Protokol Sumud.

Melalui Protokol Sumud, segala bentuk bantuan yang ingin disalurkan perlu mematuhi Tatacara Pengendalian Piawai atau SOP yang utama, sekali gus memastikan segala usaha dan bantuan global dalam membebaskan rakyat serta bumi Palestin lebih tersusun dan berkesan.

Beliau turut menyeru agar sokongan penuh kepada Palestin digerakkan secara kolektif melibatkan ahli parlimen, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) serta pelbagai pihak antarabangsa, bagi memberi tekanan kepada pihak yang melanggar hak asasi manusia, terutamanya di Palestin dan Lubnan.

Semua badan yang terlibat juga diminta berlaku adil serta memastikan tiada ketirisan dan layanan berat sebelah berkaitan hak asasi manusia.

Keseragaman, kesatuan dan kebersamaan tanpa mengira jawatan menjadi kekuatan dalam usaha ini.

“Bila ada keseragaman dan kesatuan yang tidak mengira jawatan, saya rasa ini satu titik tolak yang sangat berbeza dan penting dan dalam hal ini, saya juga berbangga melihat kalangan ahli-ahli parlimen ni yang berlainan agama dan bangsa yang turut memberi sokongan.

“Untuk usaha-usaha tambahan dibuat di peringkat politik, di peringkat diplomatik, itulah juga yang dimaksudkan dengan Protokol Sumud, menjadikan misi ini sebagai pencetus yang akhirnya akan membawa tekanan yang lebih terhadap negara seperti di Amerika Syarikat, Eropah dan Israel,” katanya.

Syed Ibrahim yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata demikian dalam Majlis Penganugerahan Energy Management Gold Standard (EMGS) bawah ASEAN Energy Management Scheme (AEMAS) di sini, hari ini.

Sebanyak 133 organisasi dan agensi bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) berjaya mendapatkan pensijilan atas usaha pengurangan sisa karbon dan kegunaan tenaga di Malaysia.